Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelantikan peguam veteran Sitpah Selvaratnam bagi menuntut kapal persiaran mewah, Equanimity menimbulkan bantahan daripada Sekretariat Peguam Muda Pemuda Umno.

Pengerusi Sekretariatnya, Nik Saiful Adli Burhan mempersoalkan keputusan itu memandangkan Sitpah berkhidmat di firma undang-undang yang diasaskan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Nik Saiful mendakwa lantikan ini menyebabkan konflik kepentingan.

Malaysiakini menghubungi tiga individu terkemuka dalam bidang perundangan untuk mendapatkan pandangan mereka.

AG tak sepatutnya lantik

Salim Bashir Bhaskaran yang juga pengerusi Majlis Peguam Selangor berkata isu dibangkitkan adalah mengenai proses pelantikan Sitpah dan bukan tentang kelayakannya.

Beliau berkata Tommy sepatutnya menjauhkan diri daripada pelantikan itu.

"Tiada siapa yang perlu diletakkan dalam kedudukan konflik. Isu ini bukan mengenai pemilihan, tetapi prosesnya (pelantikan Sitpah).

"Di sini Tommy Thomas sebagai Peguam Negara mengatakan bahawa dia secara peribadi melantik Sitpah. Beliau (Sitpah) sepatutnya dilantik oleh orang lain selain daripada Peguam Negara. Ia sama ada oleh Peguam Cara, atau oleh firma perundangan Jeremy Joseph, itu bukan masalah," katanya.

Salim berkata pemilihan Sitpah untuk mewakili 1MDB bagi menuntut kapal mewah itu tidak menjadi isu.

"Kami tidak mempersoalkan kepakarannya sama sekali. Beliau juga merupakan pengerusi Undang-undang Admiralti dan Perkapalan Majlis Peguam.

"Masalah ini timbul apabila AG mengakui bahawa beliau adalah satu-satu orang yang memutuskan untuk melantik Sitpah kerana kepakarannya. Ini tidak memberikan persepsi yang sangat bagus."

Bekas Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh berkata prosiding admiralti berhubung kapal Equanimity yang bernilai RM1 bilion itu melibatkan kepentingan awam.

Justeru katanya kerajaan harus menggunakan sumber terbaik, termasuk melantik peguam bela yang paling berpengalaman di negara ini.

Yeoh juga pernah mempengerusikan Jawatankuasa Undang-undang Admiralti & Perkapalan yang ditugaskan kepada Sitpah.

"Setelah menjadi bekas presiden Majlis Peguam dan bekas pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Admiralti & Perkapalan, saya sedar bahawa tidak ramai peguam di Malaysia yang mengkhusus dalam undang-undang admiralti dan perkapalan.

"Masih kurang dengan tahap kecekapan dan pengalaman yang dikehendaki mengendalikan kes yang rumit ini.

"Ketiga-tiga peguam pakar yang dilantik oleh pejabat AG pastinya merupakan antara pilihan yang sedikit untuk ditugaskan mengendalikan undang-undang yang kompleks ini.

"Dua daripada mereka adalah perintis yang membantu menubuhkan Jawatankuasa Undang-undang Admiralti & Perkapalan Majlis Peguam lebih sedekad lalu, bagi mempromosikan amalan admiralti dan perkapalan di Malaysia kepada Majlis Peguam," katanya.

Peguam terbaik diperlukan

Yeo juga berkata Saiful Adli silap apabila menimbulkan persoalan konflik kepentingan dengan mengatakan firma itu (di mana Sitpah berkhidmat) "milik" Tommy.

Beliau berkata, peguam negara mengumumkan secara terbuka telah melepaskan semua kepentingan dalam firma itu setelah mengambil alih jawatan dalam perkhidmatan awam.

"Telah disebutkan bahawa Cik Sitpah Selvaratnam bersetuju untuk memberikan perkhidmatannya yang tidak ternilai kepada rakyat, tanpa mengenakan bayaran," katanya.

"Komen Nik Saiful, selain tidak kena dari segi hakikat dan fakta, secara tidak adil mengkritik seseorang yang sedia mengorbankan masa, kepakaran dan bayaran, untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat.

"Permohonan maaf secara terbuka perlu dibuat terhadap Sitpah dan peguan negara," kata Yeo.

Sentimen sama disuarakan Syahredzan Johan, bekas anggota Majlis Peguam dan peguam hak asasi serta undang-undang perlembagaan.

"Sitpah mungkin peguam perkapalan terbaik di Malaysia pada masa ini. Dan jika anda bercakap tentang soal sebesar kes Equanimity, anda perlu orang terbaik untuk memikul tugas," katanya.

Beliau berkata tidak timbul isu etika dalam pelantikan Sitpah memandangkan beliau memberi khidmat secara percuma.

"Apabila kita bercakap tentang etika (dalam pelantikan Sitpah), isu utama adalah sama ada ia memberi kelebihan kepadanya.

"AG berkata Sitpah melakukannya secara percuma, tanpa dibayar menggunakan wang pembayar cukai. Maka tiada isu kronisme atau konflik kepentingan," katanya.

Pada Rabu lalu, Nik Saiful dalam kenyataan mempersoalkan pelantikan "sebuah firma yang dimiliki oleh seorang yang memegang jawatan penting di negara ini".

Beliau merujuk Sitpah yang merupakan peguam di firma guaman Tommy Thomas Advocates & Solicitors.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS