Kerajaan negeri Kedah akan memohon Kerajaan Persekutuan menilai semula cadangan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang pernah dikemukakan kerajaan negeri itu sebelum ini ketika pemerintahan kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata kerajaan negeri berpendapat KXP merupakan satu keperluan pada masa ini terutamanya bagi sektor perkhidmatan kargo selain dapat memenuhi keperluan industri yang wujud di Kedah serta negeri berhampiran seperti Pulau Pinang, utara Perak dan Perlis.

"Kedah ingin memohon kerjasama Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk menilai semula cadangan projek ini...dan saya fikir bagi syarikat dan kilang sedia ada di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) ini tentunya mereka akan menyambut baik cadangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd yang baharu di KHTP di Kulim yang disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Cadangan awal projek pembinaan KXP dengan kos RM1.6 bilion itu dibuat kerajaan negeri sewaktu Mukhriz menjadi menteri besar Kedah di bawah pentadbiran BN ketika itu.

Mukhriz berkata beliau sendiri dahulu terlibat dalam mesyuarat pembentangan cadangan itu di hadapan perdana menteri dan timbalan perdana menteri ketika itu dengan menteri pengangkutan pada masa itu turut menyampaikan beberapa hujah berhubung cadangan berkenaan.

Sementara itu, beliau berpendapat buat permulaan kerja pembinaan lapangan terbang itu tidak memerlukan belanja yang terlampau banyak dengan hanya menumpukan kepada keperluan perkhidmatan kargo terlebih dahulu dan bukannya termasuk dengan penumpang.

"Tak perlu belanja banyak. Kita buat yang asas dulu... kemudian bergantung kepada permintaan, kita buat tambahan kepada perkhidmatan penumpang sekiranya perlu selepas itu," katanya.

Operasi Infineon di negara ini merangkumi sepenuhnya rantaian nilai pengeluaran dan proses pengilangan semikonduktor dari peringkat awal hingga akhir.

Infineon telah lama bertapak di negara ini dengan pengalaman proses akhir iaitu selama 45 tahun kilangnya beroperasi di Melaka dan pengalaman proses awal selama 13 tahun di tapak kilangnya di Kulim.

- Bernama