P Pinang kaji cadangan bina tangki takungan bawah tanah
Kerajaan Pulau Pinang sedang mengkaji cadangan pembinaan tangki takungan bawah tanah seperti projek tebatan banjir di Bangkok, Thailand, yang mampu menampung kira-kira 3,785 meter padu air hujan sebagai usaha mengatasi masalah banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari berkata menerusi teknologi itu, air hujan akan 'disumbat' seberapa banyak mungkin ke dalam tangki berkenaan dan kemudian 'ditelan' secara perlahan-lahan melalui pam yang akan mengalirkan air ke sungai.
"Dalam bahasa Thai, ia dipanggil 'kaem ling' yang bermaksud pipi monyet. Apabila saya bertanya kenapa diberi nama begitu, saya dimaklumkan ia dipinjam daripada analogi monyet. Apabila seekor monyet sedang memakan pisang, monyet-monyet lain akan cuba merampas pisang itu.
"Maka ia akan terus menyumbat mulutnya dengan sebanyak mungkin pisang sehingga pipinya kembang. Kemudian, monyet itu akan kunyah secara perlahan-lahan.
"Saya setuju, projek ini amat menarik bukan sahaja dari segi fungsinya untuk memitigasikan banjir tetapi juga dari segi estetik dan rekreasi kerana taman itu juga boleh digunakan orang awam semasa tidak hujan," katanya ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam,
Bagaimanapun, Zairil berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan termasuk mengkaji kebolehlaksanaan teknologi itu sebagai syarat bagi pemajuan-pemajuan yang akan datang kerana kos untuk membina tangki bawah tanah tersebut adalah tinggi.
"Saya melawat Bangkok baru-baru ini dan menerima taklimat mengenai projek-projek tebatan banjir di bandar raya itu termasuk penggunaan tangki takungan air bawah tanah di kawasan seluas 4.45 hektar di Centenary Park di Universiti Chulalongkorn. Saya dimaklumkan oleh pihak berkuasa Bangkok kos pembinaan projek itu lebih RM300 juta," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM9.6 juta bagi projek kolam takungan Alma yang mampu menampung air hujan dengan ARI (average recurrence interval) 50 tahun yang dijangka dapat mengurangkan air larian sebanyak 50 peratus daripada kawasan hilir.
Sementara itu, Zairil berkata kelewatan penyerahan Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam kepada kerajaan negeri adalah disebabkan kerja-kerja pembesaran empangan itu yang dilanjutkan dengan tempoh tanggungan kecacatan (DLP) yang akan berakhir 16 Nov tahun depan.
Beliau berkata semua kecacatan yang berlaku dalam tempoh itu termasuk cerun-cerun bermasalah, kerja penyelenggaraan dan kerja-kerja pembaikan lain terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang kini dalam tindakan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
Katanya mengikut jadual asal, kerja-kerja pembesaran Empangan Mengkuang yang bermula pada 1 Ogos 2011 itu dijadual siap pada 31 Julai 2016.
- Bernama

