Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib kembali ke mahkamah hari ini
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 9:21 AM
Dikemaskini: 7:40 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekali lagi hari ini bagi pendengaran permohonan perintah larangan mengulas (gag order) terhadap tujuh pertuduhan terhadapnya, ditukar daripada sementara menjadi kekal.

Larangan itu dikenakan terhadap media dan orang awam untuk membincangkan kes melibatkan SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1MDB.

Semua dakwaan berkait RM42 juta yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya daripada SRC International. Wang itu sebahagian daripada RM4 bilion pelaburan Kumpulan Wang Persaraan dalam 1MDB.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memulakan penghujahannya sementara pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan Datuk Mohd Hanafiah Zakaria.

Najib adalah ahli politik paling kanan di negara ini yang didakwa bawah tuduhan jenayah.

Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga untuk salah guna kuasa dan satu pertuduhan pengubahan wang haram.

Sebelum ini terdapat kes melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas menteri besar Selangor Khir Toyo dan Datuk Harun Idris, bekas menteri Tan Sri Kasitah Gaddam dan Datuk Mokhtar Hashim, dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pendengaran dikendalikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam penghujahan selama dua jam, Shafee (gambar) menyentuh pelbagai laporan yang diterbitkan laman Sarawak Report, Wall Street Journal dan juga komen pembaca di Malaysiakini.

Katanya, Najib mengambil berat perbicaraan terhadapnya di media.

Beliau berkata, ia ditambah lagi dengan komen oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, artikel tulisan Peguam Negara Tommy Thomas di Malaysiakini pada 2016, dan juga sidang media oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull.

"Pihak pembela risau dengan pentadbiran keadilan dalam kes ini susulan perbicaraan di media berkenaan komen yang dibuat mereka dan artikel berkenaan kes ini.

"Publisiti akan memberi kesan buruk kepada anak guam saya dan perbicaraan ini. Artikel dan komen yang dibuat (oleh ahli politik) telah menambah 'benih-benih racun', mencetuskan komen yang dibuat pembaca," katanya.

Beliau berkata pihaknya risau saksi yang akan dipanggil memberi keterangan akan terpengaruh dengannya.

Shafee berkata lagi, beberapa pembaca (dalam artikel berkaitan kes ini di Malaysiakini) telah menjejaskan dan membuat tuduhan kepada kehakiman.

Beliau berkata larangan mengulas bersifat mencegah, membolehkan saksi tidak diganggu (dipengaruhi laporan dan komen) dan memastikan ia tidak mengganggu pentadbiran keadilan.

Pendakwaan: Permohonan tidak spesifik

Hanafiah berkata permohonan yang dibuat tidak spesifik, maka mahkamah patut menolaknya kerana ia tidak boleh mengenakan perintah larangan kepada orang ramai.

Timbalan pendakwa raya itu berkata Shafee menyebut kenyataan yang dibuat Mahathir, Lim dan Tony Pua tetapi mereka tidak dinyatakan dalam permohonan untuk melarang mereka.

"(Permohonan) untuk perintah larangan mengulas kepada pihak atau orang ramai secara keseluruhan (at large). Ini mustahil untuk dikuatkuasakan," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS