Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Selesaikan bayaran balik GST sebelum laksana SST'
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 10:15 AM
Dikemaskini: 2:28 AM

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menyelesaikan bayaran balik GST kepada peniaga secepat mungkin, sebelum pelaksanaan SST.

Dalam kenyataan hari ini, FMM juga berharap setiap kes bayaran balik yang tertangguh sejak pelaksanaan sistem itu pada 1 April 2015 selesai dalam tempoh itu.

"Berdasarkan maklum balas daripada lebih 100 anggota FFM terhadap tinjauan kami yang diadakan pada Julai 2018, secara keseluruhannya syarikat-syarikat ini masih belum menerima kira-kira RM200 juta bayaran balik cukai input.

"Jika mengambil kira keanggotaan lebih 3,000 syarikat dalam FMM, jumlah bayaran balik boleh jadi lebih tinggi.

"Penangguhan bayaran balik telah menyebabkan masalah aliran tunai yang serius kepada anggota kami, terutama perusahaan kecil dan sederhana, dan terus menjejaskan pengeskport," kata FMM.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa berdasarkan audit dalaman dan pemeriksaan Jabatan Kastam, sejumlah RM18 bilion daripada RM19.4 bilion dalam tabung bayaran balik GST telah disalahgunakan kerajaan BN.

Beliau mendakwa wang tersebut digunakan untuk menutup defisit, membiayai projek pembangunan dan untuk membuat "apa yang mereka suka".

Ia dinafikan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang menjelaskan wang tersebut dimasukkan ke akaun kumpulan wang disatukan kerajaan persekutuan sebelum dipindahkan ke akaun amanah secara bulanan.

Mengulas lanjut, FMM menyatakan penghargaannya terhadap Lim atas "pengumuman yang telus dan tanpa berselindung" berhubung perkara itu.

FFM juga menggesa pihak kementerian mengadakan dialog dengan pihak yang terkesan dengan penangguhan bayaran balik untuk mencari penyelesaian yang praktikal terhadap masalah itu.

Berhubung SST, FFM mencadangkan kerajaan tidak mengenakan penalti kepada syarikat yang membuat kesilapan ketika peringkat awal pelaksanaan.

"Ia bagi membantu peralihan dari GST kepada SST. Penalti hanya perlu dikenakan kepada pihak yang sengaja ingin menipu kerajaan," kata FFM lagi.

Lihat Komen
ADS