Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'AG tak mahu peguam biasa-biasa dalam kes Equanimity'
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 11:54 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

Peguam negara (AG) hanya memikirkan yang terbaik untuk negara apabila melantik bekas rakan sejawatnya dalam pasukan peguam bagi kes Equanimity, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.

"Peguam negara kita yang berpengalaman adalah seseorang yang mementingkan hasil. Maka, dia hanya mahu yang terbaik dalam pasukannya.

"Dia tidak akan berkompromi dengan yang biasa-biasa saja.

"Justeru pelantikan peguam yang dikatakan itu perlu dilihat dari perspektif seperti itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hanipa, pelantikan itu - yang dikritik oleh pemimpin Pemuda Umno dengan mendakwa mempunyai konflik kepentingan - merupakan budi bicara peguam negara sepenuhnya.

"Maka keputusannya perlu dihormati," katanya.

Anggota parlimen Sepang itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan Peguam Negara Tommy Thomas yang melantik Sitpah Servaratnam yang merupakan bekas rakan sejawatnya dari firma guamannya sebelum ini, bagi menyertai pasukan peguam dalam kes menuntut kapal layar mewah Equanimity.

Kapal layar berkenaan sebelum ini didakwa merupakan hasil dari dana 1MDB.

Tambah Hanipa lagi, pihak yang mengkritik bagaimanapun mempunyai hak menyuarakan kebimbangan mereka kerana ia adalah sebahagian dari kebebasan bersuara.
"Sudah tentu semua orang mempunyai hak untuk beri pendapat. Ini Malaysia Baru, hak seperti itu perlu dihormati dan dilindungi.

"Ia sebahagian dari kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Thomas sebelum ini menjelaskan pelantikan Sitpah tidak mempunyai konflik kepentingan kerana peguam itu tidak menerima sebarang bayaran.

Pemilihannya, katanya, berdasarkan rekod Sitpah sebagai "antara peguam perkapalan terkemuka negara dengan pengalaman lebih 25 tahun, selain pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Admiralti dan Perkapalan Majlis Peguam dan presiden Persatuan Undang-undang Antarabangsa bagi Undang-undang Maritim."

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS