Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amerika tunjukkan setiakawan dengan ikon LGBT M'sia
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 12:13 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia berkongsi kembali gambar aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Nisha Ayub yang diturunkan dari satu pameran di Pulau Pinang.

Kedutaan juga memuatkan kapsyen berbunyi:

“Sekeping gambar membawa seribu makna, tetapi tindakan jauh lebih besar ertinya.

“Kami berdiri dengan bangga bersama pemenang Anugerah Wanita Berani Antarabangsa 2016 Nisha Ayub dan Pang Khee Teik serta kerja-kerja mereka mempromosikan tolak ansur dan penerimaan.”

Gambar Pang, juga aktivis LGBT, turut diturunkan dari pameran fotografi “Stripes and Strokes” di George Town bermula 4 Ogos.

Dalam gambar itu, Nisha yang memakai baju kurung sedang memegang bendera Malaysia, manakala Pang menyangkut Jalur Gemilang di bahu sambil memegang bendera 'pelangi' LGBT.

Dua keping gambar itu diturunkan selepas aduan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menteri agama Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata pameran itu tidak selari dengan dasar kerajaan dan mempersoalkan sama ada tiada ikon lain yang boleh ditonjolkan.

Mujahid menolak gaya hidup itu dipromosikan, walaupun mendukung usaha “menyantuni” dan menghormati hak golongan itu untuk dihormati sebagai seorang warganegara.

Pendirian itu menyebabkan beliau dikritik kedua-dua golongan yang mendukung dan menentang LGBT.

Keseluruhan sebanyak 26 gambar dipamerkan, termasuk Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, veteran DAP Lim Kit Siang dan aktivis kontroversi Siti Kasim.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS