Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'100 ketua cabang akan hadir majlis makan malam sokong Azmin'
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 12:07 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Lebih 100 ketua cabang PKR dikatakan akan menyertai majlis makan malam sebagai tanda sokongan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan dicabar Rafizi Ramli dalam pemilihan parti itu bagi jawatan timbalan presiden.

Penganjur majlis berkenaan, K Vasantha Kumar berkata ia akan diadakan pada 25 Ogos di Dewan Hamzah, Klang dan akan turut dihadiri Azmin sendiri.

"Setakat ini, lebih 100 ketua cabang dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan negeri-negeri lain mengesahkan akan menghadiri majlis ini, sebagai tanda sokongan kepada Azmin. Saya harap angka ini meningkat lagi.

"Selain ketua-ketua cabang, pemimpin tertinggi parti seperti Naib Presiden Tian Chua, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan pemimpin pusat pimpinan turut hadir ke majlis ini," katanya kepada Malaysiakini.

Vasantha yang juga bertanding bagi jawatan naib presiden berkata matlamat utama majlis itu dianjurkan adalah bagi menyampaikan visi dan misi Azmin kepada pemimpin-pemimpin PKR khususnya wakil India.

"Kami harap lebih kurang 1,000 anggota parti yang kebanyakannya bertanding di peringkat cabang pada pemilihan parti akan menghadiri ke majlis ini.

"Saya percaya majlis ini merupakan pentas untuk bersama pemimpin kita. PKR dulu pembangkang. Sekarang kita merupakan kerajaan.

"Maka, saya percaya kita perlu memilih barisan pemimpin yang terbaik untuk berganding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelas beliau.

Mengakui dirinya sebagai penyokong gandingan Anwar-Azmin, Vasantha berkata pemilihan kali ini adalah bagi memperkasakan PKR untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

"Yang PKR perlu sekarang ialah gandingan kepimpinan-kesetiaan bukannya kepimpinan-strategik," ujar beliau yang merujuk kepakaran strategi yang lebih sinonim dengan Rafizi.

Pemilihan PKR yang dijadual bermula 14 September depan dilihat didominasi oleh pertembungan Rafizi dan Azmin yang akan merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Pemilihan PKR akan berlangsung selama beberapa minggu, bermula di Kelantan dan Terengganu dan berakhir di Sabah pada 13 Okt.

Lihat Komen
ADS