Kadar penyertaan tenaga buruh pada Jun 2018 menunjukkan peningkatan 0.7 mata peratus kepada 68.5 peratus berbanding Jun 2017 pada 67.8 peratus, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata bagi perbandingan bulan ke bulan, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.1 mata peratus daripada 68.4 peratus pada Mei 2018.

“Bilangan tenaga buruh pada Jun naik 2.3 peratus kepada 15.38 juta orang daripada Jun 2017.

“Pada tempoh yang sama, penduduk bekerja adalah 2.4 peratus berbanding 2.8 peratus pada bulan lepas,” katanya.

Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran pada Jun 2018 naik 0.1 mata peratus kepada 3.4 peratus daripada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, kadar pengangguran tahun ke tahun pula kekal 3.4 peratus seperti yang dicatatkan pada bulan yang sama 2017.

“Bilangan penganggur yang direkodkan adalah 515.8 ribu orang, naik 1.6 peratus berbanding Jun 2017.

‘Kadar pengangguran (pelarasan musim) pada Jun 2018 naik 0.1 mata peratus kepada 3.4 peratus daripada bulan sebelumnya,” katanya.

- Bernama