NGO dakwa KM tak konsisten dalam isu PORR, PIL 1
Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) hari ini mendakwa Ketua Menteri Chow Kon Yeow tidak konsisten dalam usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dengan membantah projek Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dulu tetapi menyokong projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) sekarang.
Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) R Meenakshi berkata semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2002, Chow adalah antara pembangkang yang membantah PORR.
Beliau mempersoalkan kenapa Chow kini menyokong PIL 1 sedangkan jajarannya adalah lebih kurang sama dengan jajaran projek PORR oleh kerajaan BN terdahulu.
"Chow menyokong seruan NGO (badan bukan kerajaan) pada ketika itu untuk membantah projek PORR yang bernilai RM5 bilion, tetapi kini beliau sendiri menyokong PIL 1 yang akan merosakkan alam sekitar," katanya di Georgetown hari ini.
Beliau berkata Chow sebagai Anggota Parlimen Tanjong dulu pernah berhujah ketika Pameran Kesedaran Orang Awam anjuran DAP Pulau Pinang bahawa PORR bertukar menjadi projek naungan politik kerana keberkesanan dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini amat diragui.
Terdahulu, Meenakshi bersama lebih 50 anggota NGO termasuk bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban T. Jayabalan, bekas ADUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu, bekas Anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang Dr Lim Mah Hui dan Penasihat Chant Group Yan Lee mengadakan demonstrasi aman di hadapan Dewan Undangan Negeri untuk membantah PIL 1.
Sementara itu, Anggota Jawatankuasa gabungan pertubuhan masyarakat, Penang Forum Khoo Salma Nasution meminta kerajaan negeri supaya mendedahkan semua pelan dalam PTMP supaya maklumat itu dapat dinilai badan global bebas.
Beliau berkata pemimpin Pakatan Harapan negeri dalam Buku Harapan telah berhasrat untuk mengurangkan pengguna kereta persendirian dalam usaha mengurangkan penghasilan karbon di negeri ini.
"Saya ingin tahu adakah PIL 1 dan PTMP boleh mengurangkan penghasilan karbon di negeri ini dan melindungi alam sekitar?
“Harapan kami agar kerajaan negeri dapat menunaikan janji mereka dan menyemak semula PTMP," katanya.
Beliau berkata hanya sistem pengangkutan negeri yang menyeluruh dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, sekali gus mengurangkan penghasilan karbon di negeri ini.
Projek PIL 1 dijadualkan dilaksana dalam fasa pertama Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.
PTMP adalah inisiatif kerajaan negeri, merangkumi pembinaan terowong dasar laut, lebuh raya serta LRT dan monorel selain jaringan perhubungan bas yang luas di tanah besar dan bahagian pulau.
- Bernama

