Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya IC biru, kenapa dilarang masuk pekarangan mahkamah?'

Sekumpulan kecil penyokong Datuk Seri Najib Razak menyatakan rasa tidak puas hati apabila dilarang memasuki pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mereka yang tiba sejak jam 9 pagi hanya dibenarkan berada di luar kawasan mahkamah dengan kawalan ketat pihak berkuasa.

Terdahulu, bekas perdana menteri itu hadir ke mahkamah bagi pendengaran permohonan perintah larangan mengulas (gag order) terhadap tujuh pertuduhan terhadapnya, ditukar daripada sementara menjadi kekal.

Selepas penangguhan prosiding, Najib kemudian menaiki kenderaan keluar dari pekarangan kompleks mahkamah dengan dikerumuni sekumpulan kurang daripada 10 orang penyokongnya. 

Mereka melaungkan slogan “hidup Datuk Najib” dan “hancur Pakatan”.

Selepas kenderaan dinaiki Najib meninggalkan kompleks mahkamah, kumpulan tersebut terus menjerit dengan mendakwa bahawa kerajaan hari ini “maha zalim”.

Mereka turut mempersoalkan sama ada terdapat arahan kepada penguatkuasa untuk melarang mereka masuk ke pekarangan mahkamah.

Salah seorang yang ditemui, Rajendran Yenkaiah dari Bentong, Pahang mempertikaikan larangan itu dan mengingatkan bahawa mereka datang sebagai rakyat Malaysia yang mahu memberikan sokongan moral kepada pemimpin yang mereka sayangi.

“Mereka (pihak berkuasa) kata kami tidak boleh masuk sebab arahan atasan. Siapa yang halang? Kami rakyat Malaysia ada IC (kad pengenalan).

“Saya IC biru (warganegara), bukan pendatang kenapa tidak boleh masuk?” katanya yang lantas mengeluarkan kad pengenalan dari dompetnya.

Turut kelihatan bersama-sama kumpulan itu adalah pelakon Ellie Suriaty yang kini dikenali sebagai penyokong tegar Najib.

Prosiding tersebut bersambung jam 2.30 petang ini.

Lihat Komen
ADS