Air Selangor nafi k’jaan negeri bayar 10 kali ganda kepada Splash
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menafikan dakwaan kononnya memberi keistimewaan kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) semasa menawarkan nilai pengambilalihan syarikat berkenaan dengan nilai RM2.55 bilion pada 3 Ogos lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata sebaliknya, diskaun yang digunakan untuk pengambilalihan Splash adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan diskaun yang digunakan dalam pengambilalihan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad pada 2015.
"Di dalam transaksi PNSB, Air Selangor membayar harga yang bersamaan dengan 0.86 kali nilai buku bersih, iaitu diskaun sebanyak 14 peratus ke atas nilai buku bersih aset konsesi air PNSB, di dalam transaksi itu, Air Selangor tidak mengambilalih aset bukan konsesi air yang dimiliki PNSB.
"Di dalam transaksi Splash pula, nilai tawaran Air Selangor bersamaan dengan 0.72 kali nilai buku bersih syarikat berkenaan, iaitu diskaun sebanyak 28 peratus ke atas nilai buku bersihnya," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.
Kenyataan berkenaan bagi menjawab dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengatakan pengambilalihan Splash membuatkan rakyat Selangor perlu membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri pada 2013.
Abdul Khalid turut menjangkakan keadaan itu memungkinkan Kerajaan Negeri mengkaji atau menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di Selangor yang dilaksanakan sejak 2008.
Tambah Suhaimi pengambilalihan Splash dilaksana berdasarkan prinsip “willing buyer, willing seller” yang memerlukan pihak penjual dan pihak pembeli perlu setuju terlebih dahulu sebelum pengambilalihan boleh dimuktamadkan.
"Dalam tempoh lima tahun ini, pemegang saham Splash telah menolak cadangan untuk menjual pada harga RM250 juta memandangkan diskaun yang begitu besar ke atas nilai buku bersihnya," katanya.
Menurut Suhaimi lagi berdasarkan yang telah disahkan oleh tiga badan bebas yang dilantik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan nilai buku bersih Splash berada pada nilai RM2.7 bilion sehingga RM3.2 bilion.
"RHB Investment Bank yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor, telah menilaikan Splash antara RM2.5 bilion berdasarkan kaedah nilai buku bersih setakat 31 Mac, 2015 dan RM3.2 billion berdasarkan kaedah penilaian pendapatan masa hadapan yang didiskaun
"Firma audit antarabangsa Deloitte yang dilantik Kerajaan Persekutuan, pada tahun 2017 mengesahkan bahawa nilai pengambilalihan Splash sebanyak RM2.7 billion adalah munasabah dan saksama dan berdasarkan kenyataan kewangan yang diaudit oleh Ernst & Young, nilai buku bersih Splash pada 31 Mac, 2017 ialah RM2.8 bilion," katanya.
Pada 3 Ogos lepas, Menteri Besar , Amirudin Shari, berkata proses pengambilalihan Splash yang sudah lama tertangguh akhirnya selesai selepas syarikat konsesi itu secara prinsip bersetuju menerima nilai tawaran pengambilalihan syarikat itu oleh Air Selangor berjumlah RM2.55 bilion.
- Bernama

