Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan Sarawak Report tak jejaskan kes Najib - editor
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 2:46 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle Brown terkejut beliau diheret sama dalam kes mahkamah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau tidak bersetuju dengan kenyataan peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, berkaitan dakwaan “perbicaraan media” ketika memetik laporan-laporan laman pembocor maklumat itu.

“Saya tidak fikir (artikel Sarawak Report) memberi kesan kerana ia bukan perbicaraan juri dan hakim boleh melaksanakan tugasnya.

“Saya laporkan fakta-fakta dan tiada satu pun laporan saya yang disangkal,” katanya kepada pemberita di kompleks mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Pihak pembelaan hari ini mahukan perintah larangan mengulas kepada media dan orang awam terhadap tujuh pertuduhan terhadapnya.

Ketika membangkitkan artikel-artikel Sarawak Report hari ini, Shafee juga berkata tidak harus ada campur tangan terhadap prosiding mahkamah.

Rewcastle Brown yang berpangkalan di London juga menafikan laporannya akan mengganggu hasil perbicaraan.

Sarawak Report dan media berpengaruh The Wall Street Journal adalah pertama mendedahkan transaksi akaun bank Najib.

Ini termasuk transaksi RM2.6 bilion yang dikatakan 'derma' serta RM42 juta daripada bekas anak SRC International Sdn Bhd pada 2015.

Kerajaan terdahulu pimpinan Najib telah menyekat akses terhadap Sarawak Report selepas Rewcastle Brown didakwa berpakat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Najib.

Sarawak Report juga dituduh oleh kerajaan lama sebagai menyiarkan dakwaan palsu.

Najib mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap tujuh pertuduhan melibatkan SRC.

Pertuduhan-pertuduhan itu melibatkan dakwaan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS