Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Di mana Ayu?
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 3:04 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Terdapat laporan bertentangan berhubung keadaan kanak-kanak 11 tahun yang berkahwin baru-baru ini.

Satu laporan mendakwa dia kini berada di pedalaman Gua Musang, manakala satu lagi menyatakan dia sudah dihantar pulang ke Thailand.

Akhbar New Straits Times hari ini melaporkan suaminya yang berusia 41 tahun, Che Mohd Karim Che Hamid telah memindahkannya ke kawasan terpencil di pedalaman untuk "mengelakkan perhatian umum".

Laporan The Star Online pula berkata kerajaan Kelantan pada 8 Ogos lalu telah menghantar gadis itu ke Narathiwat, Selatan Thailand, dan kini berada bawah jagaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand.

Malaysiakini sudah menghubungi kementerian itu untuk mendapat maklum balas.

Dalam laporan New Straits Times, Che Mohd Karim berkata dia tiada pilihan lain setelah penduduk di kampungnya mula mengganggu dan melemparkan penghinaan kepada isteri dan keluarganya.

Dia yang bekerja sebagai peraih getah juga mendakwa penduduk mengambil gambar gadis itu dan menyebarkannya di WhatsApp.

"Ini ujian besar untuk kami.

"(Dia) kini tinggal jauh, dalam hutan dan saya perlu memandu berjam untuk ke sana. (Tetapi) Saya tetap kuat... kebahagiaan dan keselamatan isteri adalah keutamaan saya ketika ini.

"Saya sanggup berulang-alik untuk menghantar bekalan makanan dan (memberi) perbelanjaan harian asalkan dia rasa ada orang menyayanginya," katanya seperti dipetik.

Gadis itu serta ibu bapanya adalah warga Thailand yang bekerja sebagai penoreh getah di Gua Musang. Dia merupakan isteri ketiga Che Mohd Karim.

Tidak ke sekolah

Che Mohd Karim memberitahu gadis itu menolak tawarannya untuk belajar di sekolah pondok dan kini tidak belajar di mana-mana sekolah.

"Saya tak akan putus asa. Saya akan terus berdoa agar Tuhan membuka hatinya satu hari nanti (dan dia terima) rancangan saya untuk hantarnya ke sekolah pondok. Dia tidak berminat untuk meneruskan pelajaran di sekolah biasa," katanya.

Perkahwinan penuh kontroversi itu dilaporkan dijalankan di sebuah masjid di Selatan Thailand pada 18 Jun lalu, dan mencetuskan kemarahan orang ramai selepas isteri kedua Che Mohd Karim memuat naik gambar pasangan itu di Facebook.

Laporan itu kemudian didapati tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa agama Thailand. Che Mohd Karim kemudian didenda RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang kerana berkahwin tanpa kebenaran serta berpoligami tanpa izin.

Susulan kontroversi itu, Menteri Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan akan memperketat undang-undang bagi perkahwinan kanak-kanak di mahkamah syariah dan merancang untuk merangka undang-undang baru bagi mengharamkannya.

Mahkamah Syariah menetapkan had umur perkahwinan bagi lelaki adalah 18 tahun dan perempuan 16 tahun. Enakmen syariah negeri menyatakan hakim perlu menemuduga sendiri pemohon.

Manifesto HARAPAN berjanji untuk menetapkan umur 18 tahun sebagai had perkahwinan kepada lelaki dan juga perempuan.

Lihat Komen
ADS