Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid melecur ketika amali sains bukan kecuaian guru
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 3:21 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Kejadian empat murid tahun dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Maha Ganesa Viddysalal di Sitiawan melecur terkena air panas bukan disebabkan kecuaian guru, sebaliknya lebih kepada kemalangan.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan Dr Abdul Aziz Bari berkata siasatan mendapati tiada sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilakukan oleh pihak sekolah ketika sesi pembelajaran di makmal.

Katanya semasa kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, seramai 35 murid tahun dua sedang menjalani sesi amali sains bersama seorang guru sebelum tiga pelajar lelaki dan seorang perempuan terkena air panas.

“Saya harapkan kita tidak menuding jari kepada pihak sekolah dan guru kerana ia tidak membantu, sebaliknya hanya menambah trauma kepada guru yang terlibat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat seorang pelajar yang melecur di bahagian kaki kanan di SJKT Maha Ganesa Viddysalal di Sitiawan hari ini.

Tiga murid lelaki yang terlibat kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dengan seorang daripadanya melecur hampir seluruh bahagian hadapan badan termasuk kemaluan, manakala dua lagi di bahagian perut ke bawah.

Abdul Aziz berkata kerajaan negeri akan memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga pelajar terbabit dan pihak sekolah tersebut untuk mengelak kejadian sama berulang.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata keadaan makmal yang serba kekurangan di setiap sekolah perlu diberi perhatian bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku sehingga menyebabkan kecederaan kepada murid.

“Insiden ini juga memberi kesedaran kepada kita supaya perlu komited dalam memberi prasarana kepada sekolah-sekolah,” katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS