Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Clare Rewcastle-Brown ikuti prosiding kes bekas PM Najib
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 5:01 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown akhirnya muncul di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur petang ini bagi mengikuti prosiding permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan perintah larangan terhadap media dan orang ramai daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Wanita warga Britain itu yang berada di dalam kamar Mahkamah Tinggi 3 pada kira-kira jam 3 petang, turut dilihat mencatat nota semasa Ketua Unit Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria sedang berhujah dalam prosiding berkenaan.

Terdahulu, beliau dilihat berjalan beriringan dengan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meninggalkan perkarangan mahkamah pada kira-kira 12.30 tengah hari.

Khairuddin ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah memberitahu, kehadiran mereka di mahkamah hari ini adalah untuk mengikuti pendengaran Petisyen Pilihan Raya yang difailkannya bagi kerusi Parlimen Jasin, Melaka.

Pendengaran petisyen pilihan raya itu didengar di hadapan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang kemudiannya menetapkan 21 Sept ini untuk keputusan permohonan Anggota Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah dan dua lagi bagi membatalkan petisyen pilihan raya difailkan Khairuddin.

Sementara itu, Rewcastle-Brown memberitahu pemberita yang beliau terkejut apabila artikelnya disebut semasa pendengaran permohonan dikemukakan Najib bagi mendapatkan perintah larangan terhadap media daripada membincangkan pertuduhan dihadapinya.

Wanita itu turut mempertahankan laporannya tentang kemelut kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menyatakan ia dibuat berdasarkan fakta.

“Tiada daripada laporan saya dalam kes ini dilihat telah dipertikaikan secara kukuh. Saya tidak fikir ini adalah perbicaraan juri jadi saya pasti hakim akan dapat melaksanakan tugasnya seperti biasa tanpa dipengaruhi oleh laporan media,” katanya.

Rewcastle-Brown yang memakai baju hitam dan putih dilihat berada di perkarangan lobi mahkamah sejak kira-kira 9.20 pagi tadi sebelum beliau terus menuju ke arah lif.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib bagi mendapatkan perintah larangan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapinya.

Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan didakwa di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil aktiviti haram, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

- Bernama

Lihat Komen
ADS