Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak veteran DAP, Yusmadi dilantik jadi senator

Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying dan bekas anggota parlimen Balik Pulau (2008-2013) Yusmadi Yusoff dilantik sebagai senator Dewan Negara.

Kedua-dua mereka menggantikan Siti Aishah Shaik Ismail (PKR) dan Dr Ariffin S.M Omar (DAP) yang menamatkan khidmat mereka 1 Jun lalu. Jawatan itu akan dipegang selama tiga tahun sehingga 2021.

Hui Ying, 55, memegang ijazah ekonomi Universiti Malaya dan menyertai DAP pada 1999.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan antaranya naib pengerusi DAP Pulau Pinang dan pembantu setiausaha DAP Pulau Pinang.

"Atas kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh parti, beliau pernah dilantik sebagai pengurus pilihan raya DAP pada 2013 dan 2018 dan membantu parti memenangi kesemua kerusi yang ditandingi di Pulau Pinang untuk kedua-dua pilihan raya umum itu," kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Hui Ying juga merupakan anak perempuan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan adik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sementara Yusmadi pula merupakan seorang peguam berpengalaman yang lahir di Balik Pulau dan kini menetap di Kuala Lumpur.

Yusmadi kini merupakan pegawai politik Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yusmadi mengambil pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa sebelum melanjutkan pelajaran dalam undang-undang hak asasi manusia di Kolej Undang-Undang Washington di Amerika.

Yusmadi, 42, berkhidmat sebagai peguam sejak 1999 dan pernah menangani pelbagai kes berprofil tinggi selain berkhidmat di Yayasan Perundangan Antarabangsa.

Beliau juga mempengerusikan Yayasan RIGHTS, sebuah organisasi kebajikan dan hak asasi, menghadiri pelbagai forum antarabangsa berhubung hak asasi dan demokrasi.

"Saya percaya kedua-dua calon ini mampu membawa suara warga Pulau Pinang ke peringkat lebih tinggi," kata Chow.

Usul pelantikan mereka yang diluluskan di peringkat DUN Pulau Pinang dibentangkan oleh Chow dan disokong oleh Dr Afif Bahardin (PKR-Seberang Jaya).

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS