Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Utusan tanggung hutang termungkir lebih RM1j
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 9:42 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Utusan Melayu (Malaysia) Bhd hari ini mengumumkan syarikat menanggung hutang termungkir sebanyak lebih RM1.1 juta.

Dalam pengumuman dibuat kepada Bursa Malaysia, syarikat terbabit memberitahu mereka sepatutnya membuat bayaran dengan jumlah keseluruhan RM1,184,871 kepada dua buah institusi perbankan, iaitu Bank Mualamat dan Maybank Islamic Bhd.

Katanya, tunggakan itu masing-masing bernilai RM530,121 dan RM654,750.

Bagaimanapun kata Utusan Melayu mereka mengalami kekangan kewangan dan akan mengemukakan cadangan penstrukturan semula dua hutang berkenaan.

Mereka juga, kata kenyataan tersebut, bercadang untuk menstruktur semula "semua" hutang sedia ada.

Lembaga pengarah Utusan Melayu juga memberitahu Bursa Malaysia, syarikat berkenaan memiliki aset yang mempunyai nilai pasaran semasa lebih tinggi berbanding hutang yang ditanggung tersebut.

Sementara itu dalam pengumuman berasingan Kumpulan Utusan memberitahu Bursa Malaysia syarikat itu akan mengeluarkan saham baru kepada pelabur swasta dan jumlahnya tidak melebihi 10 peratus saham sedia ada.

Katanya dengan cara itu mereka berharap dapat mengumpul dana sebanyak RM2,103,943 dalam tempoh empat bulan bagi membayar pinjaman yang dibuat kepada bank.

Pelaksanaan tersebut, katanya, dijangka akan selesai pada separuh ketiga tahun ini.

Ia juga katanya akan membawa kepada penyusutan pegangan saham RHB Nominees (Tempatan) Sdn Bhd - syarikat mewakili Umno - daripada 49.77 peratus kepada 45.25 peratus.

Harga semasa saham Kumpulan Utusan ialah RM0.20 seunit, merosot 68.4 peratus berbanding Januari lalu. Dagangan saham syarikat iut juga digantung hari ini.

Syarikat itu menerbitkan akhbar Utusan Melayu pada 1938.

Selain akhbar Utusan Malaysia, syarikat itu juga menerbitkan akhbar Kosmo! dan beberapa majalah termasuk URTV, Mastika dan Al-Islam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS