Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Che Abdul Karim tak sorok Ayu dalam kebun getah
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 10:51 PM
Dikemaskini: 3:23 PM

Peraih getah, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, yang mengahwini kanak-kanak berusia 11 tahun menafikan menyorok isterinya itu di kawasan pedalaman untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, isterinya yang dikenali sebagai Ayu itu kini sedang berada di Pattani untuk memperbaharui pasport dan akan kembali semula selepas urusan selesai.

“Mereka (Ayu dan keluarga) kini di kampung halaman mereka. Saya tidak dapat berhubung dengannya kerana tiada talian telefon di sana tapi saya yakin Ayu akan kembali semula ke sini selepas urusan berkaitan selesai,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Menurut Che Abdul Karim, Ayu serta ibu bapa kanak-kanak itu masih tinggal di Kampung Panggung Lalat dan bukan berada di kebun getah terpencil sebagaimana dilaporkan media.

Katanya, mereka kadang-kala tidak pulang ke rumah dan bermalam di sebuah rumah di kebun getah tersebut kerana sukar berulang-alik setiap hari.

Dia juga mendakwa, tidak tahu menahu tentang laporan sebuah portal berita yang mengatakan Ayu dihantar ke Narathiwat, Thailand dan kini di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand.

Sebelum ini terdapat laporan bercanggah mengenai keadaan kanak-kanak 11 tahun itu. Satu laporan mendakwa dia kini berada di pedalaman Gua Musang, manakala satu lagi menyatakan dia sudah dihantar pulang ke Thailand.

Akhbar New Straits Times melaporkan Che Mohd Karim memindahkan isterinya ke kawasan terpencil di pedalaman untuk "mengelakkan perhatian umum".

The Star Online pula melaporkan kerajaan Kelantan pada 8 Ogos lalu telah menghantar gadis itu ke Narathiwat, Selatan Thailand, dan kini berada bawah jagaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand.

Sebelum ini, berita perkahwinan pasangan tersebut menerima kecaman rakyat Malaysia selepas tular dalam media sosial sejak Jun lalu.

Che Abdul Karim yang sudah mempunyai dua isteri, turut didenda sebanyak RM1,800 atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada bulan lalu.

Lihat Komen
ADS