Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua anggota polis antara 4 ditembak mati di Kanada
Diterbitkan:  Aug 11, 2018 9:57 AM
Dikemaskini: 3:03 AM

GLOBAL Empat orang, termasuk dua anggota polis, terbunuh dalam satu kejadian tembakan di timur Kanada pada hari Jumaat dalam letusan keganasan bersenjata di negara itu yang membawa kepada desakan larangan senjata di bandaraya.

Polis di Fredericton, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 56,000 penduduk yang merupakan ibu kota wilayah New Brunswick, berkata seorang suspek ditahan dan sedang dirawat kerana kecederaan serius. Seorang pegawai kesihatan tempatan berkata beberapa mangsa tembakan dirawat di sebuah hospital.

Para saksi berkata kejadian tembakan itu berlaku di sebuah kompleks pangsapuri, dan media tempatan menunjukkan kenderaan kecemasan. Kemudahan berdekatan telah ditutup oleh pihak berkuasa.

Para pegawai mengenal pasti anggota polis yang terbunuh sebagai Sara Mae Burns, 43, dan Lawrence Robb Costello, 45. Mereka tidak menyatakan nama dua orang awam yang terbunuh dan hanya mengatakan bahawa suspek adalah lelaki Fredericton berusia 48 tahun. Mereka tidak memberi maklumat mengenai kemungkinan motif atau senjata yang digunakan.

"Ia menakutkan," kata Marlene Weaver, yang sedang tidur pada pagi Jumaat ketika dia mendengar bunyi tembakan. "Ia mengingatkan anda kepada kejadian tembakan di Moncton."

Dia merujuk kepada insiden 2014 di mana tiga anggota Polis Diraja Kanada (RCMP) terbunuh dan dua cedera di Moncton, New Brunswick, kira-kira 195 km (121 batu) dari Fredericton dalam salah satu insiden terburuk seumpamanya di Kanada.

Kejadian tembakan pada hari Jumaat itu berlaku tiga minggu selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di jalan raya Toronto yang sibuk, membunuh dua orang dan mencederakan 13 sebelum bertindak membunuh dirinya.

Menteri Keselamatan Awam Kanada, Ralph Goodale memberitahu pemberita bahawa RCMP membantu pihak berkuasa Fredericton dalam siasatan.

"Kami akan melihat apa yang sebenarnya terjadi, siapa yang melakukannya, apa motifnya dan senjata yang digunakan," katanya.

"Tetapi secara umum, kerajaan Kanada jelas melihat isu keganasan bersenjata secara serius."

Undang-undang senjata di Kanada lebih ketat daripada di Amerika Syarikat tetapi percambahan senjata telah menyebabkan peningkatan kes jenayah berkaitan senjata pada tahun-tahun kebelakangan ini.

New Brunswick mencatatkan tiga kejadian tembakan pada seluruh tahun 2016, demikian menurut Statistik Kanada.

"Berita mengerikan dari Fredericton," kata Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau di Twitter. "Saya bersimpati terhadap semua mangsa. Kami mengikuti keadaan dengan teliti."

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS