Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengalaman penduduk sepatutnya cukup untuk yakinkan k'jaan'
Diterbitkan:  Aug 11, 2018 12:25 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berhubung lombong emas kontroversi di Raub tidak mendatangkan ancaman kesihatan bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini dalam isu itu, kata seorang ADUN Pahang.

ADUN Tras Chow Yu Hui menyangkal kenyataan Xavier yang dibuat di Dewan Rakyat 9 Ogos lalu, bahawa tiada bukti saintifik yang menunjukkan penggunaan sianida dalam kegiatan perlombongan di Bukit Koman, Raub, membahayakan alam sekitar dan penduduk di sana.

Dalam kenyataan hari ini, Chow mempersoalkan dakwaan Xavier itu dan berkata pengalaman penduduk sepatutnya mampu meyakinkan kerajaan lebih daripada "data saintifik rasmi".

"Lebih teruk lagi, tiada sebarang buffer zone di antara kilang perlombongan dan kawasan perumahan penduduk, kecuali satu jalan raya.

"Jika projek perlombongan emas ini tidak membahayakan kesihatan penduduk, mengapakah wujudnya bau yang kurang menyenangkan dan 300 laporan penduduk tentang ketidakselesaan hanya dalam masa sebulan lombong mula beroperasi.

"Pengalaman penduduk sudah tentunya lebih menyakinkan berbanding dengan data 'saintifik' rasmi kerajaan," katanya.

Lombong itu menjadi punca pertikaian di kalangan penduduk Kampung Baru Bukit Koman sejak syarika Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd (RAGM) memulakan operasi pada 2007.

Penduduk mendakwa penggunaan sianida telah menjejaskan kesihatan mereka antaranya memberikan masalah kulit, mata menjadi merah dan berair serta kesukaran bernafas.

Kerajaan dulu dan RAGM bagaimanapun menafikan dakwaan itu. RAGM malah memfailkan saman terhadap Ban Cyanide Action Group (BCAC) dan Malaysiakini.

Chow berkata, penduduk dan BCAC - yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kebajikan penduduk - telah berjuang selama lebih sedekad dan menyokong HARAPAN dalam PRU.

"Tetapi apabila RAGM akhirnya berhenti beroperasi, rakan seperjuangan mereka yang kini telah membentuk kerajaan baru pula menafikan usaha mereka selama ini. Ini tentu menyakitkan hati jawatankuasa dan penduduk di sana.

"Saya memohon Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli yang diketuai Dr Xavier menyiasat semula kes ini serta bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar supaya menilai semula pangkalan data bekas kerajaan tentang isu ini.

"Jika terdapat maklumat yang telah disembunyikan atau tidak sahih, ia harus diperbetulkan serta merta demi keadilan penduduk di Bukit Koman," katanya yang turut meminta kerajaan menghantar pegawai untuk menyiasat kawasan kilang RAGM jika terdapat tinggalan sisa toksik.

Xavier membuat kenyataan itu ketika mengulas kenyataan Wong Tack (HARAPAN-Bentong) dan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) berhubung kesan penggunaan sianida kepada kesihatan.

Memetik laporan yang tidak dinamakan, beliau berkata tiada kaitan antara sianida dan kanser kulit dan bahan itu akan mengewap dan menjadi karbon dioksida yang tidak mengeluarkan bau.

Beliau juga berkata lombong itu sudah tidak lagi beroperasi dan syarikat perlombongan telah memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 100 penduduk dan menyumbang RM8 juta royalti tahunan kepada kerajaan negeri.

Pada bulan lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan Malaysiakini untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati laporan portal itu mengenai Raub Australian Gold Mine (RAGM) bersifat fitnah.

Lihat Komen
ADS