Berita Malaysiakini

'Kita seperti tiada ‘bapa’ - ANGKASA

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) meminta agar kerajaan meletakkan portfolio koperasi di mana-mana kementerian yang bersesuaian secepat mungkin.

Naib Presiden (Kewangan dan Integriti) Angkasa Dr Mohd Azlan Yahya berkata ia bagi membolehkan badan koperasi itu bergerak serta merancang sesuatu perkara yang boleh membawa impak sosial dan ekonomi kepada hampir 7 juta anggotanya yang mewakili 20 peratus rakyat di seluruh negara ketika ini.

“Apabila kita nak terlibat dalam dasar polisi tak boleh lagi sebab kita seperti tiada ‘bapa’, jadi penting bagi gerakan koperasi ada kementerian yang khusus maknanya ada fungsi koperasi. Harap kerajaan buat keputusan lebih tepat di mana koperasi sepatutnya berada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pengurusan Berat Badan di Jitra hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga bagi memastikan gerakan koperasi mempunyai platform dan saluran yang sesuai untuk memberi sebarang cadangan berkaitan pembangunan koperasi kepada kerajaan memandangkan ketika ini mereka hanya ada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai tempat rujukan.

Katanya bekas perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengiktiraf peranan koperasi sebagai sektor ketiga negara selepas sektor kerajaan dan swasta, dalam menjana ekonomi negara.

Sementara itu, Azlan turut meminta agar kerajaan mengiktiraf koperasi sebagai antara kategori Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) memandangkan 97 peratus aktiviti perniagaan koperasi di negara ini beroperasi secara sederhana, kecil dan mikro.

“Peruntukan kerajaan hanya diberi kepada SME, jadi koperasi tidak boleh menikmati modal perniagaan, geran serta bantuan kerajaan, sekali gus menjadikan skop pembangunan koperasi sangat terhad,” katanya.

Program anjuran Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) dengan kerjasama Mahsuri Medical Centre itu disertai 80 anggota gabungan koperasi, bertujuan memberi kesedaran mengenai tahap kesihatan anggota agar sentiasa dalam keadaan baik dan bebas obesiti.

- Bernama