Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kewangan negara teruk punca janji sukar ditunai dalam 100 hari'
Diterbitkan:  Aug 11, 2018 2:33 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui ada beberapa perkara dalam manifesto HARAPAN yang dijanji untuk dilaksanakan dalam dempoh 100 hari sukar ditunaikan, sebaliknya memerlukan tempoh lebih lama.

Saifuddin, yang juga menteri luar, berkata, ini kerana keadaan ekonomi dan kewangan yang diambil alih daripada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini lebih 'teruk' daripada apa yang disangkakan.

" Dalam masa 100 hari, ada 10 janji yang telah kita sebut dalam Manifesto HARAPAN… ada perkara yang sudah kita laksanakan, ada perkara yang sedang diusahakan dan ada perkara yang baru kita mulakan.

"Ia satu janji yang kita tetap akan tunaikan, tetapi saya harap rakyat Malaysia memahami keadaannya sangat teruk sehingga ada satu dua janji sukar dilaksanakan dalam 100 hari, mungkin dapat dilaksanakan satu dua tahun," katanya.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota, berkata demikian ketika berucap di majlis Makan Malam Sambutan Ulangtahun ke-43 Gabungan Persatuan Tionghua Kuantan malam tadi.

Saifuddin, yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata, antara beberapa janji yang memerlukan sedikit masa lagi untuk ditunaikan ialah pemberian kad pengenalan kepada warga negara Malaysia yang masih belum memilikinya.

"Ada yang harus tunggu, contohnya GST diganti SST, kena tunggu Dewan Negara dahulu dan ada beberapa perkara lain lagi yang akan ambil sedikit masa sebab ia melibatkan banyak peraturan dan sebagainya tetapi yang penting 10 janji itu telah dimulakan prosesnya.

"... dalam soal menghapuskan tol, ia dalam janji yang ambil tempoh masa, memang kita akan hapuskan tetapi mungkin berperingkat kerana melibatkan perkiraan yang lebih detail, tetapi sedaya upaya kita cuba melunaskan janji," katanya.

Mengenai bantuan mangsa gempa bumi di Lombok, beliau berkata kerajaan Malaysia masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Indonesia berhubung bentuk bantuan yang diperlukan.

"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah menghubungi Presiden Jokowi beberapa hari lepas bagi menyampaikan ucapan takziah serta menawarkan bantuan daripada kerajaan Malaysia, kita masih menunggu makluman daripada pihak Jakarta.

"Bagaimanapun dua badan bukan kerajaan (NGO) kita telahpun berada di sana untuk menghulurkan bantuan iaitu Mercy Malaysia dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang disertai oleh pakar-pakar perubatan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS