Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Juanda saran S'wak beri tanah kepada anak negeri

Kerajaan negeri Sarawak disaran supaya memberikan tanah lot kepada setiap anak Sarawak yang telah berkeluarga, terutama di kampung tradisi bagi membolehkan mereka membuat rumah di atas tanah berkenaan.

Anggota Dewan Undangan Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata pemberian yang ideal adalah seekar tanah dibahagi kepada empat keluarga, sebagaimana yang pernah dilaksanakan di skim Kampung Gita dan kampung Malaysia Jaya sekitar Kuching, suatu ketika dahulu.

Beliau berkata perkara itu sudah disaran beliau beberapa kali dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri sebelum ini kerana menurutnya, kebanyakan rumah kampung tradisi sudah terlalu sesak dengan anggota keluarga yang terus bertambah saban tahun.

“Alhamdulilah orang Sarawak kuat beranak untuk tambah bilangan rakyat bumi Kenyalang, suatu hal yang cukup positif,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, dan berita mengenai kenyataannya turut disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan di Kuching hari ini.

Beliau berkata idea ini sewajarnya diperjuangkan oleh semua lapisan rakyat Sarawak, kerana jika tidak, ramai generasi keluarga baharu di Sarawak tidak akan dapat memiliki rumah kerana harga rumah di bandar ketika ini bagaikan harga sebuah ‘istana’.

“Saya sebut perkara ini sebab saya kesian kepada orang kampung saya dan orang kampung seluruh Sarawak,” tambah bekas mufti Perlis itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS