Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sumber: Kurang separuh barang dirampas polis kepunyaan Rosmah

Kurang separuh daripada barang yang dirampas ketika serbuan polis di Pavilion Residences dalam siasatan 1MDB Mei lalu kepuyaan Datin Seri Rosmah Mansor, kata sumber.

Sumber yang rapat dengan isteri bekas perdana menteri itu mendakwa ada juga barang - seperti jam dan beg tangan - kepunyaan ibu mertua Norryana Najwa, Maira Nazarbayev.

"Dia (Maira) menyimpan sebahagian barangan peribadi di rumah Najwa. Jadi sebahagian barang yang kini dipegang pihak berkuasa adalah miliknya.

"Jumlahnya sekurang-kurangnya RM10 juta. Barang-barang ini perlu dikembalikan kepada Maira (gambar)," kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, barang lain yang dirampas di salah satu daripada tiga unit apartmen yang diserbu milik Cindy Tan, iaitu isteri kepada pemilik Pavilion Residences Tan Sri Desmond Lim, dan individu lain.

Dalam serbuan itu, memang ada kotak-kotak yang dirampas yang memiliki label "Datin Cindy" dan "Puan Sri Cindy".

"Baki barang yang dirampas milik Najwa dan keluarganya, serta (anak lelaki Najib) Mohd Ashman. Ia termasuk komputer, hadiah perkahwinan dan barangan bayi. Semua barang itu tiada kaitan dengan 1MDB," katanya.

Pada 18 Mei, polis menyerbu beberapa apartmen mewah di Pavilion Residence, Kuala Lumpur, yang berkaitan dengan Najib. Mereka merampas 284 kotak berisi beg tangan mewah, serta 72 beg sarat wang tunai dan barang kemas.

Selepas dijumlahkan dengan barang yang dirampas di rumah Najib di Langgak Duta, polis menganggarkan nilai pasaran kesemua barang-barang itu boleh mencecah RM1.1 bilion.

Difahamkan kumpulan peguam Rosmah - Azamuddin Ab Aziz, Iskandar Shah Ibrahim dan Robert Pasang Alam - kini dalam peringkat awal untuk mendapatkan senarai penuh barang yang dirampas dan telah menghantar surat kepada polis pada bulan lalu.

Ketiga-tiganya adalah bekas pegawai unit antipengubahan wang haram di pejabat peguam negara.

"Peguam dijangka mendapat senarai itu minggu depan. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan...pertama, mereka perlu membuat inventori untuk 18,000 barang yang akan dibahagikan mengikut kategori. Proses ini mengambil masa beberapa minggu.

"Kemudian mereka akan mendapatkan kembali bukti seperti resit, invois dan dokumen lain seperti yang diminta polis dalam jawapan balas bertulis mereka kepada surat peguam bertarikh 23 Julai."

Sumber itu berkata pihak Rosmah akan membahagikan inventori kepada empat kategori.

Katanya, kategori pertama merangkumi barang peribadi milik Rosmah dan keluarga yang diperolehi sebelum 2013.

Kategori kedua, katanya lagi, untuk hadiah daripada orang kenamaan dari luar negara dan keluarga diraja negara Timur Tengah.

"Sebahagian jam (yang diberi) mempunyai lambang diraja di belakangnya. Sebahagian barang diasingkan daripada kotak yang mempunyai logo Saudi (pokok kurma dan dua pedang) ketika dirampas. Itu semua adalah hadiah.

Tuntut semula barang

"Satu soalan menarik adalah ketika (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman) Datuk Amar Singh berkata polis akan memanggil pemberi hadiah untuk soal siasat, bagaimana mereka akan berbuat demikian?"

Kategori ketika pula untuk hadiah perkahwinan Nooryana, yang menurut sumber itu juga diasingkan daripada kotaknya ketika dirampas.

Kategori terakhir pula untuk barang milik Maira.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Iskandar Shah mengesahkan pasukan peguam telah membuat permohonan bertulis kepada polis untuk menuntut barang itu.

"Memang ada tindakan dan permohonan yang dibuat Azamuddin bagi pihak Rosmah.

"Pada masa ini ia masih di peringkat awal. Senarai itu kini di tangan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS