Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SERI SETIA | PAS yakin Umno akan membantunya pada pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Seri Setia, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, perkara itu juga dilihat berdasarkan Umno yang tidak menurunkan calonnya pada PRK kali ini.

"Saya tengok muka dia (Umno) macam nak tolong. Kita harapkan mungkin sebagaimana kenyataan bila dia tidak turunkan calon, kita harap pengundi Umno tolong undi PAS,” katanya kepada pemberita di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad (KUIZM), Gombak, hari ini.

Terdahulu beliau ditanya sama ada Umno akan membantunya di PRK Seri Setia 8 September ini.

Sebelum ini Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya memberi laluan dan bantuan jentera Umno kepada PAS.

Mengulas perkara itu, Tuan Ibrahim berkata pihaknya menyambut baik usaha tersebut memandangkan PAS tidak mempunyai akses kepada ahli Umno.

Minta Umno turunkan jentera

"Kita sambut baik semua usaha kalau mereka nak bantu jentera untuk dekatkan ahli Umno sebab PAS tidak ada akses kepada ahli mereka.

"Tetapi jentera mereka ada, saya fikir kalau dia boleh turunkan jentera dia untuk tarik ahli-ahli Umno dan menyokong PAS, parti menyambut baik,” katanya.

Anggota Parlimen Kubang Kerian itu turut berkata pihaknya juga sudah turun ke DUN Seri Setia bagi mengkaji sentimen penduduk di kawasan itu.

"Dalam PAS kita ada beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh bahkan petugas PAS akan memahami situasi pengundi dan sensitiviti masyarakat setempat. Itu perlu diambil kira,” katanya,

Selain itu katanya rakyat kini tidak berpuas hati kerana kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Pakatan Harapan (HARAPAN) gagal menunaikan janji manifesto Pilihan raya Umum (PRU) mereka.

"Mungkin ini satu isyarat yang perlu dihantar kepada kerajaan berhubung khususnya janji manifesto sebab bukan rakyat yang janji.

"PRK ini diharapkan agar dapat hantar isyarat dan kita harap pengundi sana tanpa mengira kaum dapat beri kepercayaan kepada suara pembangkang bagi membawa suatu suara kepada DUN,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya terbuka sekiranya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ingin turun berkempen, berkata:

"Kita tidak jawab soalan kalau. Biar dulu,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata pihaknya sudah menyenarai pendek tiga calonnya pada PRK Seri Setia dan akan diputuskan oleh Majlis Syura PAS.

Katanya lagi, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat Rabu ini.

“Calon ada macam-macam ada yang pernah bertanding ada yang belum,” katanya.

Lihat Komen
ADS