Berita Malaysiakini

Tanah dituntut Orang Asli milik kerajaan negeri – Takiyuddin

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata tanah adat yang dituntut masyarakat Orang Asli, Gua Musang adalah milik mutlak kerajaan negeri Kelantan.

Beliau juga mendakwa tindakan masyarakat orang asli menuntut tanah tersebut selepas dipertahankan NGO tertentu.

“Di Kelantan tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli, tidak pernah ada dalam undang-undang tanah Kelantan dan tak pernah digazetkan (tanah adat orang Asli).

“Apa jadi masalah sekarang, kawasan kerajaan negeri yang menjadi kawasan balak diberi kebenaran dan permit pembalakan oleh jabatan perhutanan tetapi sebahagian Orang Asli ini ‘dibackup’ oleh beberapa NGO yang dakwa tanah itu tanah Orang Asli sedangkan itu tanah kerajaan sebab itu mereka buat blockade halang pembalak,” katanya semasa sidang media di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak hari ini.

Setiausaha Agung PAS itu berkata walaupun dalam undang-undang Kelantan tiada istilah tanah adat Orang Asli namun kerajaan negeri telah menggazetkan kawasan rayau mereka yang membenarkan masyarakat itu melakukan aktiviti harian tanpa gangguan.

“Kerajaan negeri telah menggazetkan kawasan rayau Orang Asli iaitu kawasan perkampungan dan sekitarnya di mana dia boleh bercucuk tanam, ternakan dan sebagainya.

“Kerajaan tak akan keluar kebenaran kepada syarikat untuk keluar kayu balak dan sebagainya di kawasan yang di klasifikasikan kawasan rayau Orang Asli,” katanya sambil memaklumkan anggaran kawasan rayau orang asli meliputi belasan ekar.

Semalam kira-kira 200 Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan menunggu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama tujuh jam bagi meminta bantuan mewartakan tanah adat mereka, selepas kerajaan Kelantan pimpinan PAS gagal berbuat demikian.

Wakil masyarakat Temiar menemui Dr Mahathir berhubung pertikaian mengenai hak tanah adat dengan sebuah syarikat perladangan durian Musang King baru-baru ini.

Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Nik Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli, selepas pertemuan pada 2013.

Dr Mahathir turut berjanji untuk berbincang dengan kerajaan negeri Kelantan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu pencerobohan tanah wilayah adat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata pihaknya bersedia bersemuka dengan kerajaan pusat bagi membincangkan isu Orang Asli.

“Saya rasa selama ni tak ada masalah Kelantan bincang dengan kerajaan pusat. Di Kelantan Orang Asli dilantik menjadi penghulu, duduk dalam organisasi kerajaan maksudnya ketua kampung, tidak ada masalah (untuk bincang dengan kerajaan),” katanya.