Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Izzah: Ambil kira pandangan petani isu monopoli BERNAS

Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar hari ini memberi jaminan akan membawa suara petani berhubung monopoli PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) kepada pengetahuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Katanya beliau percaya Menteri berkenaan Datuk Salahuddin Ayub bersedia membantu menyelesaikan dilema pesawah terbabit dengan mengemukakan isu Bernas kepada kabinet.

“Kita tak boleh anggap kita tahu segala penyelesaian, kita kena dengar dan cuba selesaikan dengan mengambil kira pandangan mereka (petani),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama pesawah pada Festival Padi Antarabangsa Pulau Pinang, di Kampung Terus, Penanti dekat Bukit Mertajam.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata adalah amat penting isu monopoli Bernas itu diselesaikan memandangkan ia melibatkan dasar pengeluaran makanan negara.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti Dr Norlela Ariffin yang turut hadir, berkata Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) perlu diwujudkan semula.

"LPN kena diwujudkan kembali kerana sekarang ini Bernas adalah satu syarikat swasta dan keuntungannya jika menurut Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini adalah RM1.8 bilion.

“Akan tetapi kalau tengok pesawah-pesawah kita kehidupan sangat menyedihkan, mereka puratanya hanya mendapat RM500 hingga RM700 ratus sehektar,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS