Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dari sultan hingga rakyat tolak isu sensasi kaum, agama

ULASAN | Sultan Perak, Sultan Nazrin yang diketahui umum tidak mencampuri urusan parti-parti politik telah secara kiasan mengingatkan Umno bahawa masa depannya tidak ada lagi sekiranya terus mengharapkan sokongan rakyat atas isu-isu sensasi agama dan perkauman.

Titah baginda: "Sentimen pengundi wajib dijadikan panduan kepada parti-parti politik yang berusaha untuk meneruskan jangka hayatnya."

Dalam titah melancarkan buku Reflections on Malaysian Unity and Others Challengers tulisan Pengerusi Yayasan 1 Malaysia, Dr Chandra Muzaffar, baginda menegaskan kaedah mendapatkan sokongan dengan mensensasikan isu agama dan kaum semakin kurang berkesan sebagai faktor penarik.

Dalam hal ini kita dapat melihat Umno selepas sahaja terguling kerajaannnya pada PRU ke-14 telah berkonspirasi degan Utusan Malaysia untuk memainkan isu-isu yang telah ditolak oleh rakyat dan tidak mahu menerima hakikat telah bangkit gelombang perpaduan rakyat yang melampaui batas kaum dan agama demi untuk menegakan sebuah kerajaan yang urus tadbirnya lebih baik tanpa rasuah dan penyelewengan wang negara.

Mereka tidak lagi dapat menerima wajah-wajah yang walaupun Islam dan Melayu tetapi tertampal dengan najis dan kotoran.

Apabila Sultan Nazrin menyuarakan kesedaran ini maka baginda menerima realiti politik baru Malaysia dan Malaysia Baru yang menunjukkan keperihatinan Istana menghayati harapan rakyat yang menukarkan kerajaan.

Sultan Perak diketahui tidak mencampuri urusan politik sekalipun ketika Umno berada dalam keruncingan dan menghadapi deficit keyakinan.

Baginda tetap mematuhi pasal-pasal kesopanan Raja dalam perlembagaan dan tidak mengambil kesempatan dari krisis ini untuk membesarkan lagi kedudukannya.

Maka itu apabila baginda meminta parti-parti politik menghadapi realiti politik baru ini, di belakangnya adalah kehormatan autoriti dan kredebeliti yang tinggi yang tidak boleh dipersoalkan.

Isu-isu lapuk

Titah baginda lagi :"Sentimen pengundi yang lebih menumpukan kepada tadbir urus yang baik lagi telus dan semakin kurangnya daya pengaruh isu-isu sensasi berteraskan agama dan kaum membuka ruang luas utuk budaya politik di negara ini dapat dibangunkan atas penyebut atau denominator yang sama."

Baginda juga mengingatkan kerajaan baru dipilih oleh rakyat supaya membaca dengan tepat sentimen oleh kerajaan yang telah diberikan mandat memerintah.

Kesedaran ini tidak ada pada Umno setelah digulingkan oleh rakyat pada PRU ke-14 sebaliknya Umno terus mahu hidup atas isu-isu lapuk dengan memperalatkan Utusan Malaysia .

Tidak berlakunya perubahan yang dinamik dalam pemilihan pucuk pimpinan baru Umno malah sebaliknya Umno terus menunjukan sikap "I Love You" terhadap bekas presidennya Datuk Seri Najib Razak menjadi bukti tidak ada kesedaran baru yang diharapkan, tidak sahaja oleh ahli Umno tetapi juga rakyat yang masih sayang pada Umno.

Kutipan wang derma untuk membantu Najib dalam perbicaraan rasuah dan membawanya berkempen di pilihan raya kecil Sungai Kandis dengan keyakinan jika menang akan dapa membantu membersihkan nama Najib telah memburukan lagi nama Najib sehingga pemimpin-pemimpin tertinggi Umno tidak lagi merasa senang dan mengkritiknya.

Kritikan ini juga membayangkan kekecewaan pemimpin-pemimpin Umno terhadap presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membiarkan dirinya dibayangi oleh Najib dan menampakkan pergantungannya yang terus menerus kepada Najib.

Beberapa orang pemimpin terkemuka Umno tidak lagi senang dengan kelemahan pimpinan Zahid yang menjadikan Najib sebagai 'presidennya'.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Umno memilih untuk menjarakkan dirinya daripada Najib kerana beliau menjadi beban kepada Umno bagi mendapatkan semula sokongan rakyat.

Sementara Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani mendesak agar Najib tidak dibenarkan berkempen untuk parti dan BN dalam mana-mana pilihn raya kecil dalam masa akan datang kerana membawa persepsi negatif terhadap Umno.

Najib telah pergi berkempen di pilihan raya kecil Sungai Kandis dengan harapan kemenangan akan dapat membersihkan dosanya dan Rosmah dan akan menjadi asas pemulaan mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno setelah ditolak oleh rakyat dalam PRU ke-14 .

Jika Umno sendiri tidak dapat melihat generasi baru, politik baru dan Malaysia Baru maka tidaklah heran jika Umno tidak mempunyai jangka hayat yang panjang kerana Umno mempunyai pandangan Istana dan Sultan sendiri mempunyai pandangan rakyat.


TAN SRI ZAINUDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan ketua pengarang Kumpulan Utusan.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS