Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya mesti lagi hebat dari Trump, sindir Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan jutawan kontroversi Jho Low bahawa perdana menteri itu 'bercakap bagi pihak' Jabatan Keadilan AS (DOJ) berhubung penyitaan kapal layar mewah Equanimity.

"Saya sangat bangga kerana saya boleh bercakap bagi pihak kerajaan AS.

"Saya mesti lagi hebat daripada Trump," kata Mahathir secara sinis kepada pemberita selepas menghadiri pameran seni 'Tun M: A Forever Legacy' di Maeps, Serdang hari ini.

Beliau berkata Low sepatutnya bertanya pihak berkuasa AS sama ada beliau bercakap bagi pihak mereka atau memaksa mereka.

Awal hari ini, jurucakap Jho Low membuat dakwaan itu berhubung penglibatan AS dalam pemindahan kapal layar berharga AS$ 250 juta itu dari Indonesia ke Malaysia.

Low melalui jurucakapnya juga menuduh Mahathir "merampas" prosiding undang-undang negara-negara lain untuk memperoleh Equanimity yang dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau juga menegaskan bahawa penyitaan kapal layar itu adalah tidak sah.

Mahathir semalam berkata AS dan Indonesia telah bekerjasama dengan Malaysia untuk mengembalikan kapal itu ke perairan Malaysia.

Equanimity menjadi perselisihan antara DOJ dan Indonesia selepas DOJ memfailkan saman pelucutanhakan sivil ke atas kapal berharga AS$ 250 juta tahun lepas.

DOJ mendakwa kapal layar mewah itu dibeli dengan menggunakan hasil dana 1MDB yang disalahgunakan melalui sistem kewangan AS.

Low didakwa memiliki kapal itu melalui beberapa perantara termasuk Equanimity Ltd.

Indonesia mengumumkan minggu lalu bahawa kapal itu akan diserahkan kepada Malaysia. Ia tiba di Pelabuhan Klang pada Selasa lalu.

Lihat Komen
ADS