Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14), BN kini sedar bahawa gabungan itu perlu mengubah cara dalam berkempen.

Umno juga perlu menerima kekalahan itu dan melihat apa sebenarnya yang diinginkan rakyat tanpa mengira pegangan parti, kata calon Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail.

“Dulu kita nak rakyat ikut kita tapi (sekarang) kena (ikut) apa yang rakyat nak. Itu pembaharuan yang perlu dibawa, maksudnya Umno kena dengar suara di luar Umno, bukan hanya dalam Umno walaupun kadang-kadang perkara tu dilihat bukan yang Umno nak tapi itulah suara rakyat Malaysia,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Selain itu, Rizam berkata Umno perlu mengetengahkan calon muda yang demi memberi nafas baru kepada parti itu.

“Inilah masa kita perlu bangkit dan Umno perlu ketengahkan pemimpin muda, yang berpotensi bawa masa depan negara.

“Sekarang yang pentingnya pemimpin mendengar semua sudut untuk pastikan Umno masih relevan.

"Landskap politik jauh berubah dengan banyaknya tertubuh parti melayu baru.

"Dulu saingan dengan PAS, hari ini rakyat banyak pilihan, cabaran kita bagaimana kita nak jadi parti yang diyakini rakyat,” katanya.

Persepsi terhadap Najib 'rugikan rakyat'

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata kekalahan pada PRU14 berpunca daripada kegagalan BN menangani persepsi yang ditimbulkan Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap Datuk Seri Najib Razak sehingga menyebabkan pertukaran pemerintah selepas 60 tahun.

Akibat kekalahan itu, Najib sendiri melepaskan jawatannya selaku pengerusi BN dan presiden Umno yang disandangnya sejak tiga penggal lalu.

“Persepsi terhadap Najib dilihat menekan dan merugikan rakyat dan kita gagal meyakinkan mereka dasar-dasar yang kita buat dan apa yang kita buat terhadap tanggungjawab kerajaan dan rakyat nak lihat kesalahan pemimpin. Jadi persepsi ini direka,” katanya.

Rizam mendakwa PRU14 lalu rakyat mengundi HARAPAN kerana undi protes untuk menolak BN.

Kerajaan akan 'besar kepala'

Pada 8 September ini bakal menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Profesor Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu manakala kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng Thien Chee yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Justeru itu Rizam berkata penduduk di kedua-dua DUN tersebut perlu memberikan undi kepada BN dan PAS bagi memprotes HARAPAN yang gagal menunaikan janji mereka.

“Kalau rakyat rasa tertipu, rasa negara tak berada di landasan betul kena pilih kami kerana rakyat ada kuasa, dan undi protes perlu diadakan pada PRK Seri Setia dan Balakong.

“Kalau tidak dilakukan, kerajaan rasa besar kepala kerana kerajaan sekarang cukup angkuh terhadap perkara-perkara yang ingin dilaksana,” katanya.

Jalan penyatuan Umno-PAS

Beliau yang sangat bersetuju kerjasama antara PAS dan Umno melihat kedua-dua PRK itu jalan awal ke arah pembuktian keikhlasan hubungan antara kedua-dua parti.

“Terima kasih pada pimpinan kerana buka ruang kerjasama antara PAS dan Umno dan ia perlu diterjemahkan dengan keihlasan.

“Fokus kita kerjasama antara Umno dan PAS jadi realiti, yang penting keikhlasan bentuk kerjasama. PRK di Seri Setia, Balakong perlu diterjemahkan agar ikhlas dalam membuat penyatuan.

“Umno kalau nak kembali ia tak boleh berseorangan, HARAPAN pun bersatu. Kalau nak bangkit Umno perlu gabungan baru, untuk yakinkan rakyat,” katanya.

Lihat Komen
ADS