Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor peruntuk RM1.44 juta kursus kahwin percuma

Kerajaan Johor memperuntukkan RM1.44 juta bagi menyediakan kursus perkahwinan percuma yang akan memanfaatkan 12,000 pasangan yang ingin berumah tangga di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Osman Sapian.

Beliau berkata bantuan itu adalah satu daripada 10 janji manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor untuk ditunaikan dalam tempoh 100 hari mentadbir bagi memenuhi kehendak rakyat negeri ini.

"Bantuan ini secara tidak langsung akan meringankan beban bakal pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan, insentif ini diberi kepada pasangan yang akan berkahwin untuk kali pertama sahaja," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit), Hahasrin Hashim (BN-Panti) dan Ee Chin Li (PH-Tangkak) yang ingin tahu sejauh mana manifesto kerajaan negeri pimpinan PH sudah ditunaikan setakat ini.

Osman berkata pasangan yang ingin memohon insentif berkenaan boleh hadir ke Pejabat Kadi Daerah bermula 1 Sept ini.

"Boleh disimpulkan di sini, kerajaan negeri amat komited dalam memastikan setiap aku janji yang telah dinyatakan menerusi manifesto 100 hari dan lima tahun dapat diterjemah dalam bentuk pelaksanaan dan dinikmati oleh bangsa Johor,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS