Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JARINGAN: K'jaan Kelantan beri pelbagai alasan tuntutan warta tanah adat

Jaringan Kampung Orang Asli (JARINGAN) Kelantan menafikan pihaknya dihasut badan bukan kerajaan (NGO) untuk menuntut tanah adat kepunyaan mereka di negeri ini.

Pengerusinya Mustafa Along berkata Orang Asli bangkit menuntut hak mereka atas kesedaran mempertahankan tanah adat yang diwarisi daripada nenek moyang mereka daripada diceroboh sehingga menyukarkan kehidupan masyarakat tersebut.

"Kami sedih kerana kerajaan negeri bagi pelbagai alasan berhubung tuntutan kami untuk mewartakan tanah adat itu," katanya ketika ditemui pemberita di sekatan Kampung Kaleg, Pos Tohoi di Gua Musang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang dilaporkan menyebut tidak ada istilah tanah adat Orang Asli di Kelantan dan masyarakat tersebut bangun menentang kerajaan negeri Kelantan selepas dihasut NGO tertentu.

Mustafa berkata masyarakat Orang Asli akan tetap meneruskan sekatan di tiga laluan utama pembalakan iaitu di Pos Bihai, Tohoi dan Pasik.

"Masyarakat kami tidak pernah gentar dengan pelbagai ugutan daripada pihak tertentu selepas dua kali berlaku kekecohan di sekatan Kampung Kaleg baru-baru ini," katanya.

Seorang penduduk, Harun Alang, 46, berkata masyarakatnya akan terus berkumpul di tiga sekatan itu bagi menghalang pencerobohan di tanah adat mereka.

"Kami sedar jika tidak bertindak demikian kemungkinan tanah adat masyarakat kami akan hilang dan akan menimbulkan lebih banyak masalah bagi generasi Orang Asli akan datang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS