Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Keputusan untuk menjual kapal mewah Equanimity merupakan langkah tepat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan tidak perlu menanggung beban kos penyelenggaraan kapal tersebut.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata kos penyelengaraan kapal tersebut yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM3 juta sebulan tidak sepatutnya dibebankan kepada kerajaan, sebaliknya penjualan kapal itu dapat membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi negara ini.

"Adalah lebih baik kapal itu dijual, hasil daripada penjualan itu nanti dapat membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi negara, sekaligus membantu meningkatkan keperluan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan IJM Land Half Marathon di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban Datuk Zazali Salehudin.

Kapal mewah itu dianggarkan bernilai RM1 bilion, dipercayai mempunyai hubung kait dengan seorang ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, kini berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang selepas tiba di Malaysia pada 7 Ogos setelah diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS