Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Besut di Terengganu ditutup empat hari mulai esok hingga Khamis berikutan penyebaran virus Beguk.

Sehubungan itu, seramai 560 pelajar di madrasah itu dibenarkan pulang hari ini.

Pengetua madrasah itu Jusoh Mat berkata lebih 20 orang pelajar lelaki sekolah berkenaan dijangkiti penyakit Beguk sejak tiga minggu lalu.

“Penyakit Beguk disebabkan oleh virus ‘paramyxovirus’ yang menyebabkan keradangan dan sakit pada kelenjar air liur (parotid).

“Setelah disiasat penyakit ini kita dapat kesan bermula daripada seorang pelajar lelaki Tingkatan 1 yang dijangkiti virus itu selepas melawat bapa saudaranya yang dijangkiti virus tersebut di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Julai lalu sebelum kembali ke sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di madrasah itu di Kampung Padang Landak, Jertih di Terengganu hari ini.

Menurut Jusoh, sekolah itu ditutup selepas mendapat nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut bagi mengelak penularan penyakit tersebut selain memberi ruang kepada kerja membersihkan beberapa kawasan seperti surau, kantin dan asrama dengan bahan kimia yang disyorkan PKD.

Tambah beliau lagi hampir setiap hari pihak sekolah terpaksa menghantar pelajar yang terkena virus mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Padang Luas dan mereka akan dikuarantin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS