Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mayat seorang bayi lelaki yang telah tanggal tali pusat dan berbalut tuala ditemukan tertanam di belakang sebuah gudang, dekat Kampung Santong, di Dungun, awal hari ini.

Mayat ditemui pada kira-kira jam 8 pagi oleh seorang penduduk kampung, Jasmi Mohd, 32, yang datang untuk berjumpa rakannya yang bekerja di gudang itu.

Jasmi yang pada mulanya ternampak sebuah beg berwarna biru sebahagiannya tertanam di permukaan tanah yang kelihatan baharu digemburkan. Dia terdorong untuk menggali tanah berkenaan dan menemui mayat tersebut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada saksi kejadian dan sepasukan penyiasat ditugaskan ke lokasi terlibat.

“Kami juga telah memanggil pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Negeri Terengganu (IPK) untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Penemuan bayi berkenaan adalah kes kedua seumpamanya di daerah ini, selepas penemuan seorang mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat di tempat pelupusan sampah pada 4 Jun lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS