Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kewangan Johor baik, lebihan RM68 juta pada 30 Jun
Diterbitkan:  Aug 13, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Prestasi kewangan negeri Johor berada dalam kedudukan baik dengan mencatatkan lebihan berjumlah RM68.21 juta berakhir pada 30 Jun lepas.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata jumlah hasil yang diterima adalah sebanyak RM707.45 juta manakala jumlah perbelanjaan RM639.24 juta.

"Jumlah simpanan rezab Kerajaan Negeri Johor yang berakhir pada 30 Jun lepas adalah berjumlah RM2.585 bilion," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang ingin tahu status kewangan Kerajaan Negeri berakhir 30 Jun 2018 dan perancangan Kerajaan Negeri bagi mengukuhkan kewangan serta usaha menambah hasil Kerajaan Negeri.

Osman berkata kerajaan Pakatan Harapan sentiasa komited dalam mengukuhkan lagi kedudukan kewangan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata antara agenda utama bagi mencapai kestabilan fiskal adalah Bajet Telus dan Pengurusan Kewangan Berintegriti, Bajet Berpandukan Keutamaan Negeri serta Bajet Berimbang Secara Struktur.

Tiga fokus utama bagi agenda Bajet Telus dan Pengurusan Kewangan Berintegriti adalah meningkatkan kefahaman dan akauntabiliti para pegawai pengawal pusat-pusat tanggungjawab kewangan, mewujudkan budaya kecemerlangan pengurusan kewangan jabatan-jabatan melalui bina upaya modal insan serta membudayakan integriti dalam pengurusan perolehan dan aset.

"Dua fokus utama bagi agenda Bajet Berpandukan Keutamaan Negeri adalah mengurangkan konsep siling dalam peruntukan untuk memberi lebih penekanan kepada keperluan sebenar jabatan, projek dan program serta menekankan kepentingan penghasilan 'outcome' melalui kajian semula terutama kepada projek atau program yang dijalankan secara tradisi.

"Tiga fokus utama bagi agenda Bajet Beimbang Secara Struktur pula adalah mencapai kestabilan fiskal untuk jangka masa panjang bagi memastikan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri Johor, menstruktur semula hasil kerajaan bagi memastikan peningkatan jenis dan amaun Hasil Berulang seperti hasil cukai tanah, cukai air mentah, cukai jalan raya serta faedah daripada simpanan tetap serta mengurus dan mengawal peningkatan perbelanjaan berulang supaya tidak melebihi Hasil Berulang termasuk gaji (mengawal pewujudan jawatan atau unit baru), elaun sewaan pembayaran tertangguh serta lain-lain komitmen," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan mengurangkan kebergantungan kepada Hasil Tidak Berulang seperti premium tanah, bayaran proses kepada pejabat tanah, lesen-lesen dan pulangan daripada agensi-agensi.

​​​​​Osman berkata beliau mengambil maklum tentang kekhuatiran sesetengah pihak yang mendakwa Kerajaan Negeri akan mengalami kerugian sekiranya janji-janji seperti yang tertulis dalam manifesto dilaksanakan.

"Ingin saya tegaskan di sini, dengan pelan yang telah saya nyatakan sebentar tadi, ia diyakini mampu untuk mengukuh dan menambah hasil Kerajaan Negeri.

"Pendek kata, ahli-ahli dewan sekalian tidak usah khuatir dengan kedudukan kewangan negeri kerana kami di pihak kerajaan Pakatan Harapan Johor mempunyai perancangan yang holistik untuk kebaikan semua pihak terutamanya rakyat yang memberi mandat kepada kami," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS