PARLIMEN | Golongan LGBT tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai pesakit mental, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon CHye.

Beliau sebaliknya menyifatkan mereka sebagai berdepan masalah "hormon dan fizikal" dalam otak yang boleh dikesan melalui pengimejan resonans magnet (MRI) dan pemeriksaan lain.

"Berkenaan LGBT, bukan semuanya berkenaan dengan sakit mental. Sebahagian besar (golongan) LGBT) adalah penyakit organik, dari segi hormon atau fizikal dalam otak yang menyebabkan mereka sedemikian," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

"Ia bukan satu penyakit tetapi penyimpangan (aberration) daripada apa yang biasa kita nampak. Jadi jangan anggap mereka sebagai orang sakit atau mengalami sakit mental. Ia satu tanggapan tidak betul," katanya yang merupakan seorang doktor perubatan.

Beliau menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) berhubung sama ada golongan LGBT akan diklasifikasikan sebagai mengalami masalah mental.

Isu LGBT kembali menjadi perhatian awam selepas Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusof menggesa diskriminasi tempat kerja terhadap golongan itu dihentikan.

Walaupun menegaskan tidak menyokong kegiatan LGBT, beliau berkata mereka tetap mempunyai hak sebagai warganegara.

Isu itu dihangat kan apabila Mujahid mengarahkan potret dua aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik diturunkan daripada sebuah pameran di Festival George Town.

Beliau kemudian mengadakan pertemuan dengan Nisha dan dalam sidang media bersama menegaskan pendiriannya dalam isu itu.