Kerajaan negeri merancang untuk menubuhkan sebuah syarikat air baharu dalam usaha memastikan tarif air di negeri ini dapat dikawal.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata apabila dibandingkan dengan negeri lain, tarif air di Johor adalah yang tertinggi.
"Saya sedang memikirkan jika mendapat kelulusan kerajaan negeri, kita tubuh syarikat air Johor baharu.
"Saham SAJ (Syarikat Air Johor) Ranhill sudah jatuh. Jadi, kalau kita tengok satu syarikat yang tiada keuntungan, siapa hendak beli?
“Selain itu, ia dimiliki sebuah syarikat besar lain dan jika mereka tidak tawarkan hendak beli macam mana kita (kerajaan negeri) hendak beli,” katanya menjawab soalan tambahan Ayub Jamil (BN-Rengit) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Ayub ingin tahu adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membeli saham SAJ Ranhill sebagai usaha memastikan rakyat negeri ini dapat menikmati tarif air yang rendah.
Ketika ini, kerajaan negeri mempunyai 20 peratus saham dalam syarikat air negeri tersebut.
- Bernama
