Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib kata Jho Low patut bertanggungjawab, tapi...

Datuk Seri Najib Razak berkata hartawan kontroversi Jho Low patut dipertanggungjawabkan jika benar Equanimity diperoleh secara tidak sah.

Bekas perdana menteri bagaimanapun tidak senada dengan gesaan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya Jho Low kembali ke Malaysia selepas dia mengkritik rampasan kapal mewah itu.

“Semua perkara harus dibuat berdasarkan kedaulatan undang-undang.

“Saya selalu sebut, tiada sesiapa pun mengatasi undang-undang dan siapa yang buat salah – ia tertakluk kepada undang-undang,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ditanya sama ada beliau rasa Jho Low patut pulang ke Malaysia, Najib menjawab:

“Selagi apa yang dibuat berdasarkan kedaulatan undang-undang.

“Macam saya cakap tadi, jika ia dibuat secara tidak sah – jika kapal layar itu diperoleh dengan cara tidak sah, dalam erti kata wang itu tidak dimilikinya dan digunakan secara tidak sah, dia kena bertanggungjawab.

“Ini pendirian saya.”

Anggota parlimen Pekan ditanya berkaitan dakwaan Low bahawa pemfailan saman sivil pelucuthakan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) masih tidak membuktikan apa-apa.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa pasal dia. Terpulang pada dia kerana kita semua tidak terlibat sama sekali, dengan kapal layar itu,” katanya.

DOJ percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.42 bilion pada kadar semasa) disalah guna dari 1MDB dan dicuci melalui sistem kewangan antarabangsa, termasuk AS.

Wang itu didakwa telah digunakan untuk mendapatkan pelbagai aset di pelbagai negara, dengan kebanyakannya di AS.

Kerajaan Malaysia bergantung kepada siasatan DOJ dalam rampasan Equanimity.

Equanimity yang dianggarkan bernilai RM1 bilion pada mulanya dirampas Indonesia di perairan Bali hasil kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), AS.

Indonesia menyerahkan kapal itu kepada Malaysia minggu lepas.

Mengulas laporan Malaysiakini, Khairy di Twitter semalam meminta Jho Low pulang berdepan pihak berkuasa Malaysia.

“Jika kamu tidak salah, berhenti sembunyi. Selagi kamu terus lari dan kes mahkamah (SRC) masih tidak habis, parti saya tidak dapat bergerak melampaui isu 1MDB dan dibina semula,” tulisnya dalam bahasa Inggeris.

Jho Low melalui peguamnya semalam menuduh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad 'merampas' prosiding undang-undang negara lain untuk mendapatkan Equanimity.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS