Kes bayi lima bulan Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif yang mayatnya ditemukan di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Sept, sementara menunggu laporan forensik dan perubatan siap.

Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Rasyihah Ghazali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie memaklumkan bahawa laporan forensik dan perubatan dalam kes Noor Aqilah Abd Rahman, 33, yang diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff masih belum siap.

Pada 13 Julai lepas, Noor Aqilah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya bayi itu sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala dan melupuskan mayat mangsa dengan menyembunyikan kematiannya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga dituduh telah melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman, mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di rumah sewanya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves di Kuala Lumpur antara 6.20 dan 6.50 petang, 3 Julai 2018.

Pada 3 Julai lepas, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves sebelum mayatnya ditemukan anggota polis di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama, lewat malam hari kejadian.

- Bernama