Syed Saddiq yakin Dr M, Anwar akan baik-baik saja
Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yakin hubungan baik di antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menjernihkan kekeruhan yang membelit PKR sekarang.
Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keyakinan itu lahir berlandaskan permuafakatan yang dibina kedua-dua kepimpinan tertinggi parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
“Pada Jumaat lepas saya sempat jumpa dengan Datuk Seri Anwar dan (diberitahu) hubungan beliau dengan Dr Mahathir sangat baik.
“Malah, beliau sendiri tekankan, permuafakatan itu harus diperkukuhkan.
"Selepas pertemuan itu kami bersama-sama ke Putrajaya bagi bertemu dengan Dr Mahathir,” katanya pada sidang media selepas sesi perjumpaan bersama kepimpinan Majlis Belia Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan calon anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Abdullah Sani Abdul Hamid dalam satu kempen kumpulannya yang mendakwa Anwar tidak akan menjadi perdana menteri jika Datuk Seri Azmin Ali menewaskan Rafizi Ramli dalam perebutan kerusi timbalan presiden.
Menurut Abdullah Sani keadaan itu dijangkakan kerana ketika ini Azmin mendapat sokongan Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.
Jujur kepada rakyat
Untuk rekod, Daim juga pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan semasa kabinet diketuai Dr Mahathir sebagai perdana menteri kali pertama dulu.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga anggota parlimen Muar berkata dalam politik memang akan ada pihaknya yang cuba memecah-belahkan kepimpinan parti.
“Dalam politik ini memang akan ada pihak yang cuba untuk memecah-belahkan (pimpinan parti), tetapi saya yakin bahawa permuafakatan (antara Dr Mahathir dan Anwar) akan berterusan (sekali gus menyelesaikan semua isu).
“Bagi saya ia hanyalah pandangan peribadi mereka dan dalam HARAPAN ini, insya-Allah hubungan mereka akan terus berkekalan,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain menteri belia dan sukan itu berkata kerajaan HARAPAN perlu berterus terang mengenai perkembangan janji 100 hari kerajaan baru itu.
Kata Syed Saddiq, ia perlu bagi bersikap jujur kepada rakyat yang telah memilih mereka.
“Kita kena berikan penerangan sebaik mungkin dan perlu jujur kepada rakyat.
Mana yang kita tidak mampu (laksanakan), perlu ada penjelasan, tak perlu nak berselindung dan terangkan kenapa ia perlu diberikan tempoh untuk dilaksanakan.
“Tetapi yang paling mustahak walau apa pun yang dikatakan rakyat sentiasa memerhati dan menilai, ada yang akan sokong dan ada yang tidak, tetapi selagi kita jujur semua akan berjalan lancar,” katanya.

