PARLIMEN | Kerajaan sedang mengkaji pindaan yang diperlukan ke atas Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan akan membentangkannya di Dewan Rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

"Kerajaan melalui Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia dengan kerjasama beberapa kementerian, jabatan dan agensi berkaitan, sedang menyemak dan mengkaji pindaan-pindaan yang diperlukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya Dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 7 Ogos.

Tambah Liew, ia adalah sebagai usaha untuk memperkemaskan peruntukan-peruntukan sedia ada bagi membendung ancaman siber dan ancaman masa kini.

"Pindaan Akta ini dijangka dibentangkan di parlimen setelah mendapat kelulusan jemaah menteri," katanya sebagai menjawab soalan Ahmad Faizal Azumu (HARAPAN-Tambun).

Ahmad Faizal, yang juga merupakan menteri besar Perak sebelum itu bertanya jika kerajaan merancang meminda OSA bagi mengelakkan ia disalah guna dan dalam masa sama memastikan hanya rahsia-rahsia negara yang sah saja dilindungi.

Kerajaan di bawah pentadbiran BN sebelum ini dikecam kerana menggunakan OSA untuk dalam mengkelaskan laporan ketua audit ke atas 1MDB sebagai rahsia negara.

Bekas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli disabitkan bersalah di mahkamah dan dijatuhkan 18 bulan penjara kerana membangkitkan dokumen laporan berkenaan. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan bon tingkah laku baik.

[Baca berita asal]