Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Beberapa ketua polis daerah ditukar kerana isu judi

Beberapa ketua polis daerah diarah bertukar berikutan kegagalan menangani isu perjudian di kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara berkenaan, Mohamad Fuzi berkata arahan secara spesifik telah diberikan kepada pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ketua polis negeri dan ketua polis daerah.

“Kalau saya buat serbuan dan mendapati (masih) ada pusat perjudian di daerah berkenaan tindakan serta merta akan diambil.

“Sekarang ini, operasi banteras perjudian masih berterusan dan kami tidak akan bertolak ansur, kami berharap isu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan pembukaan majlis Kursus Komunikasi Professional, di Maktab PDRM di Cheras, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata beliau sendiri akan membuat dan menyertai operasi judi secara mengejut jika memperoleh maklumat dan mengikut keperluan.

Mohamad Fuzi berkata, PDRM sebelum ini membuka bilik gerakan untuk orang awam melaporkan kegiatan judi termasuklah talian ‘hotline’ di seluruh negara.

“Kami ada buka talian bukan sahaja di Kuala Lumpur tapi di seluruh negara termasuk di Bukit Aman, tapi sambutan di Kuala Lumpur untuk orang awam melaporkan kegiatan judi agak dingin sekali.

“Isu judi ini banyak diperkatakan di Lembah Klang tapi penglibatan masyarakat untuk melaporkan kurang memberangsangkan. Oleh itu, saya minta orang awam termasuk pengamal media melaporkan kegiatan judi kepada kami,” katanya.

Tiada maklumat keberadaan Jho Low

Mohamad Fuzi berkata pada minggu lepas polis hanya menerima 173 maklumat berkaitan isu berkenaan di seluruh negara.

Mengenai usaha kerajaan untuk membawa pulang jet peribadi milik ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, yang kini dilaporkan berada di Singapura, Mohamad Fuzi berkata PDRM masih tidak menerima maklumat berhubung perkara itu.

Menurut laporan media, jet peribadi itu dirampas oleh pihak berkuasa Singapura pada 2017 dan ditempatkan di Lapangan Terbang Seletar.

Turut dilaporkan pesawat Bombardier Global 5000 yang dirampas itu adalah sebahagian daripada aset bernilai kira-kira AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mengenai lokasi sebenar Jho Low, Mohamad Fuzi berkata PDRM sehingga kini tidak dapat memastikan lokasi Jho Low.

“Kami dapat maklumat Jho Low ini berterusan dan tidak pasti di mana dia berada, ada yang kata di China, kami telah menghubungi pihak berkuasa di sana (China) tetapi mereka pun tidak dapat mengesahkannya,” katanya.

Mengenai peguam Jho Low, Mohamad Fuzi berkata PDRM tidak menghubungi peguam Jho Low tetapi sedang mencari jalan penyelesaian untuk mengesan lokasi sebenar Jho Low.

Blog Sarawak Report sebelum ini melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan satu laporan berita berhubung penahanan Jho Low di China. Bagaimanapun, laporan itu tidak mendapat pengesahan daripada mana-mana pihak.

Pasport Jho Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun lepas atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

- Bernama

Lihat Komen
ADS