Keluarga wanita yang pergelangan tangan putus ditetak suaminya, gembira dan bersyukur kerana pembedahan menyambung semula tangan kiri mangsa berjaya dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.
Ibu mangsa, Basirah Begum M.Sharif berkata mereka sekeluarga berharap anaknya berusia 24 tahun itu cepat sembuh selepas pembedahan menyambung semula pergelangan tangan wanita itu yang memakan masa kira-kira 15 jam semalam berjaya.
"Beliau masih terkejut dan trauma, kami sekeluarga sentiasa memberi kata semangat kepada dia supaya kuat demi anak-anak. Alhamdulilah kami sekeluarga bersyukur kerana pembedahan itu berjaya dan saya harap tangannya dapat berfungsi seperti biasa semula," katanya ketika ditemui di HPP di Pulau Pinang hari ini.
Dalam kejadian semalam seorang isteri putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak suaminya yang cemburu dengan wanita itu dalam kejadian di kawasan parkir tingkat tiga flat Bayu Nyaman, Bayan Lepas dekat Pulau Pinang tengah malam semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah berkata mangsa masih ditempatkan di wad kerana doktor mahu memantau keadaannya bagi melihat sama ada tangan wanita berkenaan berfungsi atau sebaliknya.
"Mangsa dilaporkan stabil selepas pembedahan berkenaan," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan ketika dihubungi Bernama berkata suami mangsa direman sehingga 19 Ogos ini bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
"Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu dan saya percaya dapat menyelesaikannya dalam masa terdekat berikutan kami telah mendapat bukti-bukti yang dapat bantu siasatan," katanya.
- Bernama
