Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) kerana disyaki menerima rasuah berupa tiket penerbangan serta penginapan hotel bagi percutian ke Eropah.

Menurut sumber, suspek wanita berusia 50 tahun yang pernah bertugas di pejabat MARA daerah di Selangor itu ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 3.00 petang tadi selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

Jelas sumber, suspek dipercayai telah menerima tajaan daripada beberapa syarikat untuk dirinya iaitu tiket kapal terbang dan penginapan hotel bagi percutian selama 10 hari ke London dan Paris antara Mac hingga April 2014.

“Suapan tersebut ialah bagi menyokong proses permohonan pembiayaan yang dahulunya dikenali sebagai Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Mara yang dipercayai mengandungi butiran palsu kepada pengarah MARA negeri Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM turut menahan seorang suspek yang dipercayai bersubahat dengan pegawai MARA berkenaan. Difahamkan, dia bertindak sebagai orang tengah antara pemohon pembiayaan dan pegawai MARA itu.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada jam di 2.45 petang di ibu pejabat SPRM.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Dato’ Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Sekyen Kuala Lumpur esok bagi pendakwaan mengikut Seksyen 17 (a), Seksyen 18 dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Lihat Komen
ADS