Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menyangkal dakwaan kononnya beliau tidak menyertai lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China kerana mengalami masalah dengan negara republik tersebut.

Beliau berkata sebaliknya, sebagai menteri kewangan, adalah menjadi tugasnya untuk memastikan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 dibentangkan dan diluluskan di Parlimen minggu ini.

“Sekiranya RUU itu tidak dapat diluluskan, ia akan jejaskan hasil (negara). Oleh itu saya terpaksa berada di Senat kecuali pihak pembangkang boleh hormati mandat rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan dan tidak akan sabotaj dasar ekonomi dan RUU ini,” katanya.

Anggota Parlimen Bagan itu berkata demikian sewaktu menggulung RUU itu yang diluluskan di peringkat dasar selepas dibacakan kali kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof selepas mendapat majoriti pada 6.37 petang ini.

RUU berkenaan dibentangkan berikutan berlaku beberapa penyusunan semula kementerian selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Lim berkata, sekiranya RUU itu tidak diluluskan, hasil negara terjejas dan negara mungkin akan menghadapi baki semasa defisit dan itu tidak harus dibenarkan berlaku.

Terdahulu, ketika membahaskan RUU itu, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) meminta penjelasan kenapa Lim dipinggirkan daripada menyertai rombongan Perdana Menteri ke China yang dijadualkan Khamis.

Annuar mempersoalkan sama ada ketiadaan Lim itu disebabkan menteri kewangan itu dilarang masuk ke Beijing.

- Bernama