Persatuan Pengusahaan-pengusahaan Kecil dan Sederhana (Sementa) menggesa kerajaan terus mengekalkan beberapa agensinya di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Persatuan itu menyatakan kebimbangannya mengenai langkah mengalihkan beberapa agensi seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan SME Bank di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

"Namun demikian, Sementa menitikberatkan kemungkinan pertubuhan seperti SME Corp dan SME Bank juga dialihkan dari bawah penjagaan bidang Kementerian Pembangunan Usahawan.

"Ini disebabkan penempatan kedua-dua pertubuhan tersebut dalam jagaan bidang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengalakkan penyelarasan yang cekap antara komuniti terlibat.

"Akses kepada pasaran dan pembangunan teras tetap menjadi cabaran utama golongan pengusaha kecil dan sederhana. Adanya kerjasama cekap antara SME Corp, Matrade dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), terjaminnya pengaturan polisi yang diselaraskan untuk pengusaha kecil dan sederhana.

"Ketentuan dan kesinambungan polisi seharusnya diutamakan," kata Naib Pengerusi Sementa, Datuk William Ng dalam suatu kenyataan tadi malam.

Pada 27 Julai, The Edge melaporkan Kementerian Pembangunan Usahawan sedang berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil alih bidang kuasa sesetengah agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Laporan itu memetik Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Mohamad Hatta Ramli sebagai berkata bahawa beliau tidak dapat menolak bahawa kementerian baru itu akan mengambil alih agensi seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan SME Corp, serta koperasi.