Datuk Seri Najib Razak menyatakan kekesalannya kerana gagal melawan apa yang disifatkan sebagai propaganda terhadapnya yang telah memesong tanggapan rakyat terhadap kadar hutang negara.

Dalam satu hantaran Facebook semalam, bekas perdana menteri berkata ketika mengambil alih pentadbiran pada 2009, seluruh dunia termasuk Malaysia di ambang krisis ekonomi yang diramalkan lebih teruk berbanding krisis ekonomi Asia 1998.

Justeru katanya, beliau memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi yang berjaya menyelamatkan ekonomi tetapi pada masa sama membawa hutang yang besar kepada negara.

Nisbah hutang negara berbanding KDNK pada masa itu meningkat daripada 41.24 peratus pada 2008 kepada 52.81 peratus pada 2009, dan naik sehingga 54.7 peratus pada 2013 dan turun ke 50.9 peratus tahun lalu.

"Mungkin kerana kerajaan saya dan saya tidak pandai untuk menghebohkan usaha kita pada masa itu seperti perdana menteri pada 1998 (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang sering membangkitkan usahanya untuk menyelamatkan negara pada 1997, maka kebanyakan rakyat tidak tahu tentang keadaan ekonomi pada 2008 dan 2009.

"(Akibatnya) Saya berterusan dikecam kerana menaikkan hutang negara walhal kita berjaya menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi yang mungkin lebih teruk dari 1998.

"Kepentingan utama saya pada masa itu dan selama menjadi perdana menteri ialah untuk menjaga ekonomi dan keluarga, tetapi malangnya, kita tidak dapat menangkis propaganda yang berjaya memesongkan pemikiran rakyat daripada apa yang sebenarnya berlaku," katanya lagi.