Dr M, rakan peniaga tak suka rakyat bergaji tinggi, kata bekas PM
Datuk Seri Najib Razak menegaskan perbezaan pandangan mengenai dasar kerajaan mahu menaikkan gaji menjadi antara punca perselisihan pendapat antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kata Najib, perdana menteri serta "rakan-rakan peniaga" tidak senang dengan langkah berkenaan walaupun ia akan menguntungkan rakyat dan negara.
"Ada juga yang tidak percaya apabila saya mendedahkan baru-baru ini bahawa antara punca Dr Mahathir tidak senang dengan saya ialah kerana dia dan rakan-rakan peniaga beliau tidak suka dengan polisi kerajaan saya untuk menaikkan gaji," kata Najib melalui kemas kini di Facebook hari ini.
Menggunakan contoh ucapan Dr Mahathir semalam, Najib berkata pendirian perdana menteri ialah tidak perlu seseorang di negara ini mendapat gaji tinggi kerana yang lebih penting, mereka memiliki kuasa beli lebih besar.
Malah kata Najib, Dr Mahathir sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak yakin Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Najib yang kini menjadi ketua Umno Pekan berkata, pada ucapan sama semalam Dr Mahathir memberikan contoh sebuah negara jiran yang mempunyai kadar gaji yang tinggi namun tidak memiliki kuasa beli terhad.
Kata Najib, beliau yakin negara yang disebut Dr Mahathir itu ialah Singapura.
"Saya sukar untuk memahami mengapa Dr Mahathir berkata Singapura bukan negara kaya dan rakyatnya hanya mampu membeli barangan dari tepi jalan, tetapi ini secara jelas menunjukkan cara pemikiran yang berbeza antara kami berdua," katanya yang akhir-akhir ini aktif mengemas kini hantaran di Facebook.
Naikkan gaji B40
Najib ialah orang pilihan Dr Mahathir untuk diangkat sebagai perdana menteri ketika kabinet diketuai Tun Abdullah Ahmad Badawi suatu ketika dulu.
Hubungan akrab mereka bertukar menjadi renggan sebelum mencapai tahap bermusuh dalam politik. Kemuncaknya berlaku apabila Dr Mahathir meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Gabungan dengan Pakatan Harapan (yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara) kemudian membawa kepada kejatuhan Umno dan BN dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.
Kegagalan mendapat mandat sekali lagi menyaksikan Najib tersingkir daripada jawatan perdana menteri, sebelum beliau melepaskan jawatannya sebagai presiden Umno.
Beliau juga berdepan dengan tujuh tuduhan jenayah di mahkamah.
Baca Dr M: Najib jadikan orang Malaysia suka harap duit percuma
Menurut Najib Dr Mahathir yakinan pada situasi gaji rendah masih membolehkan seseorang memiliki kuasa membeli yang tinggi jika negara terlibat dalam pembuatan atau pengilangan, atau pertumbuhannya dilakukan di dalam negara.
Sebagai contoh katanya rakyat yang berpendapatan rendah itu membeli kenderaan buatan Malaysia, menggunakan telefon pintar buatan negara ini dan produk-produk tempatan lain.
"Bagaimanapun, pendapat saya pula ialah keutamaan perlu diberi untuk menaikkan gaji golongan B40 supaya jurang pendapatan dapat dirapatkan.
"Saya juga percaya kita sekarang hidup dalam dunia globalisasi.
"Bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati tahap kehidupan yang lebih tinggi dan bergerak bebas ke negara lain sebagai global citizen, Malaysia seharusnya menjadi negara berpendapatan tinggi.
"Perlindungan melampau dan berkempompong dalam dunia sendiri sahaja, serta gaji yang rendah hanya akan membawa kita kepada taraf kehidupan yang rendah bagi rakyat Malaysia," katanya.

